BERITA

Banjir Kilat Di Klang: Operasi KTMB Terjejas

Gempak 11/04/2025 | 00:25 MYT

Operasi KTM Komuter Lembah Klang terganggu susulan banjir kilat yang melanda Klang khususnya laluan Pelabuhan Klang - Tanjung Malim - Pelabuhan Klang.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, banjir kilat antara Stesen Batu Tiga dan Stesen Subang Jaya berlaku akibat hujan lebat yang berterusan pagi ini.

"Perkhidmatan KTM Komuter dari Pelabuhan Klang akan tamat di Stesen Batu Tiga.
"Penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Stesen Subang Jaya akan diaturkan menaiki bas perantara.

"Perkhidmatan KTM Komuter diteruskan dari Stesen Subang Jaya ke Stesen Tanjung Malim," kata KTMB dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial.

KTMB turut memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna.

Perkembangan terkini operasi perkhidmatan tren akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, tambahnya.

Sumber: Astro AWANI

#Banjir #Klang #KTMB