Viral

Banjir Pantai Timur: Masih Lone Ranger, Abang Viva Guna 98 % Kos Sendiri Beri Bantuan

gempak
Maliah Surip
29/12/2023
03:55 MYT
Sponsor Banner
Banjir Pantai Timur: Masih Lone Ranger, Abang Viva Guna 98 % Kos Sendiri Beri Bantuan
Setiap kali musim tengkujuh atau banjir melanda negara, seorang individu yang pernah menjadi tular dan dikenali sebagai Abang Viva kerana sikap prihatin membantu mangsa bencana tanpa aset lengkap akan menjadi sebutan.
Kini saat negeri di Pantai Timur dilanda bencana banjir yang sangat teruk, Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar juga masih menjalankan misi menyelamat.
Cuma berbeza dengan bantuan menyelamat yang dihulurkan sebelum ini, Abang Viva yang kberada di Terengganu saat dihubungi memaklumkan dia hanya membantu mangsa banjir dari segi keperluan seperti makanan.
“Saya sekarang berada di Terengganu dan di kawasan banjir di Pantai Timur sudah banyak pihak dan aset negara seperti Bomba telah terlebih dahulu menghulurkan bantuan dan standby untuk perkara-perkara diperlukan.
“Untuk kali ini, saya masih bergerak solo dari Melaka dan agak lambat tiba kerana ada kekangan yang perlu diuruskan.
“Malah untuk misi kali ini saya juga tidak membuat misi bantuan menyelamat kerana pihak berwajib dan berkenaan seperti bomba dan aset negara yang lain sudah menggerakkan bantuan menyelamat.
“Sebaliknya saya memberi fokus menyampaikan sumbangan barang keperluan makanan seperti barangan kering dan air mineral kepada mangsa banjir,” ujar Abang Viva menerusi kiriman suara kepada Astro Gempak.
Penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) bersempena Hari Ulang Tahun ke-73 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam tahun lalu itu juga memaklumkan dia menggunakan 98 peratus kos yang dikeluarkan sendiri untuk membantu mangsa banjir.
“Boleh dikatakan saya guna 98 peratus kos dari poket sendiri dan ada membawa juga sumbangan yang diberikan.
“Jadi misalnya jika ada pihak yang berminat untuk menghulurkan sumbangan seperti barangan makan atau kewangan, sangat dialu-alukan,” kata Abang Viva.
Tambah sukarelawan berusia 31 tahun itu, dia membawa aset kenderaan pacuan empat roda yang diberikan seorang individu kepadanya berbanding kereta Viva milik kakaknya yang dipinjam dalam misi menyelamat Disember 2021 lalu.
“Saya guna aset 4x4 dan ada bawa bot bersama. Cuma setakat ini bot yang dibawa masih belum jejak ke air lagi kerana kebanyakan bantuan yang saya sampaikan masih menggunakan kereta,” jelasnya.
Sehubungan itu katanya, sesiapa yang mahu menghulurkan sebarang sumbangan atau bantuan boleh menghubungi atau menghantar kiriman WhatsApp pada nombor miliknya yang ada di platform media sosial termasuk Tik Tok dan Facebook.
Abang Viva juga memaklumkan dia merancang bergerak ke Kelantan bagi membantu mangsa banjir di Negeri Cik Siti Wan Kembang yang terjejas teruk dengan musibah banjir hujung tahun ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live