Laman Utama

Banjir Selangor; Artifak Arwah Bapa Ezad Lazim Rosak, Lantai Rumah As Feminin Pecah

gempak
Amri Hassan
16/01/2022
04:20 MYT
Sponsor Banner
Banjir Selangor; Artifak Arwah Bapa Ezad Lazim Rosak, Lantai Rumah As Feminin Pecah
Penyanyi Ezad Lazim antara mangsa yang terjejas dengan bencana banjir yang menimpa beberapa kawasan di sekitar Selangor sekitar hujung tahun lalu.
Berkongsi pengalaman dan kedukaannya berdepan musibah itu, kata Ezad pengalaman banjir di Kota Warisan, Sepang menjadi memori pertamanya.
"Ini pengalaman kali pertama berdepan musibah banjir sejak pindah ke rumah sendiri di Kota Warisan, Sepang. Banyak barang koleksi peribadi musnah dan rosak.
"Saya memang suka simpan barang-barang yang ada nilai sentimental. Saya juga menyimpan koleksi CD dan VCD original dari penyanyi yang saya minat yang dikumpul dari zaman muda.
"Ini termasuklah koleksi gambar saya dengan bekas kumpulan dan alatan muzik seperti gitar. Ada antaranya saya simpan dan tidak pernah guna. Namun, agak sedih alatan muzik artifak arwah bapa tidak boleh diselamatkan.
"Apa yang penting, nyawa. Alhamdulillah, isteri dan anak-anak berada dengan saya ketika banjir, jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan sangat," katanya.
Justeru, bagi meringankan beban mangsa banjir terutama dalam kalangan penggiat seni tanah air, pelbagai pihak termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan individu dan perseorangan terus mencurah bakti dengan menghulurkan bantuan termasuk Yayasan Metamorphosis bersama pasukannya menerusi Misi Jiwa Prihatin.
Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Aliff Zain berkata, pasukannya agak terlewat menghantar bantuan disebabkan menjalani tempoh kuarantin berikutan menjadi kontak rapat pesakit COVID-19.
"Habis sahaja tempoh kuarantin, saya terus mempersiapkan pasukan untuk turun padang bagi menghulurkan bantuan. Dari segi dana, Yayasan Metamorphosis tidak kutip mana-mana sumbangan, ini hasil pendapatan perniagaan yang disalurkan kepada yayasan ini.
"Kami melawat bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin di Banting, Selangor, kemudiannya ke rumah penyanyi Ezad Lazim di Kota Warisan, Sepang.
"Seterusnya, kami menjengah bekas pemain bola sepak negara, Azman Adnan dan isterinya, As Feminin; penyanyi otai, Yantzen dan pemain bass kumpulan Damasutra, Amran di sekitar Hulu Langat.
"Sepatutnya, kami singgah ke rumah pelawak, Ebby Yus di Hulu Langat, tetapi saya dimaklumkan beliau dimasukkan ke hospital. Misi Jiwa Prihatin ini turut menghulurkan bantuan kepada individu lain yang menjadi mangsa banjir, bukan hanya golongan selebriti," katanya.
Misi Jiwa Prihatin RM500,000
Aliff yang juga usahawan dari Pulau Pinang berkata, secara kasar, Yayasan Metamorphosis memperuntukkan antara RM500,000 hingga RM1 juta bagi Misi Jiwa Prihatin di seluruh Malaysia.
"Bukan hanya menyediakan sumbangan berbentuk wang ringgit, malah, pelbagai barangan elektrik seperti mesin basuh, peti ais dan katil. Ini termasuk juga keperluan asas seperti pinggang mangkuk, dapur dan sebagainya.
"Misi Jiwa Prihatin bermula ketika banjir besar di seluruh Malaysia pada 2014. Dan saya sendiri turun padang agak sedih dengan nasib menimpa mangsa banjir. Saya lihat mereka perlu memulakan kehidupan baharu, ada yang sehelai sepinggang, tak kira kaya atau miskin. "Jadi, dari situ, kami meneruskan Misi Jiwa Prihatin tahun demi tahun. Saya berharap lebih ramai rakyat Malaysia menghulurkan sumbangan membantu mangsa banjir bukan hanya kejadian tahun ini, tetapi juga pada masa akan datang," ujarnya yang mengalu-alukan sukarelawan menyertai Yayasan Metamorphosis menerusi Facebook Yayasan Metamorphosis.
Lantai rumah As Feminin pecah
Sementara itu, bekas anggota kumpulan Feminin, Asfarina Muhamad atau lebih popular dengan panggilan As dan suaminya yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan berbesar hati apabila Aliff turun menghulurkan bantuan.
"Terima kasih, semoga Allah membalas jasanya membantu mengurangkan bebanan saya sekeluarga. Saya tak boleh agak anggaran kerugian tetapi, apa yang boleh saya cakap kena bermula dari kosong semula.
"Bukan hanya semua barang elektrik rosak, malah, lantai pun pecah. Ia seperti membina rumah baharu, satu rumah pula kena buat wiring semula.
"Memang saya amat terkesan, tetapi, saya nak ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sangat prihatin dan tidak berkira. Bila berlaku bencana ini, barulah saya nampak rakyat Malaysia sangat bersatu dan bermurah hati, tak kira apa bangsa dan agama. Saya memang respek pada masyarakat majmuk kita," katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024