Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Bantu 250 Warga PPR, Nadhir Nasar Sambut Baik Inisiatif Astro Kasih Menyantuni Komuniti Yang Memerlukan

Izwan Isa
13/04/2022 12:50 MYT
Pelakon Nadhir Nasar menyambut baik inisiatif Astro Kasih dalam menyantun golongan yang memerlukan sempena kedatangan bulan Ramadan.

Pelakon Nusyuz Berkiblat Cinta itu berkata, selepas dua tahun rakyat Malaysia mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19, kini sudah tiba masanya untuk mereka yang berkemampuan untuk sama-sama turun padang, membantu dan memberi kembali kepada masyarakat.

“Saya sangat menyambut baik setiap inisiatif yang dicetuskan oleh Astro Kasih dalam menyantuni masyarakat, terutama komuniti yang tinggal di PPR.

“Terutama pada bulan Ramadan dan selepas kerajaan memberikan sedikit kelonggaran untuk keluar dan melakukan sebarang aktiviti berbanding ketika dua tahun kita mengikuti PKP,” katanya kepada Gempak.



Nadhir ditemui pada majlis pemberian bubur lambuk di bantuan kepada 250 penduduk PPR Desa Tun Razak baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nadhir turut berkongsi mengenai kesanggupannya untuk sama-sama turun padang dan memberi kembali kepada masyarakat jika mempunyai masa yang terluang.

“Selain bergelar duta Hari Raya untuk Astro, saya memang suka melakukan aktiviti seperti ini, terutama jika saya mempunya masa terluang. Sebab saya pun familiar dengan tempat-tempat sebegini kerana membesar dan berkawan dengan mereka yang tinggal di kawasan seperti ini.

“It’s nice to help other people dan memberikan pertolongan serta bantuan kepada mereka yang memerlukan. Tambahan pula pada bulan suci Ramadan,” katanya lagi.

Selain Nadhir, beberapa selebriti turut terlibat dalam program berkenaan seperti Putera Muhammad (MADAM), Syazwan Shuhaimi dan pempengaruh Idris Zulkifli serta Fatimah Noryyah.

Program berkenaan turut mendapat sokongan Yayasan Ikhlas dan McDonald’s Malaysia.
#PPR #Astro Kasih #Bubur Lambuk #McDonald's Malaysia #Nadhir Nasar #Yayasan Ikhlas
;