BERITA
Bantuan Tunai One-Off RM100 Kepada Warganegara Dewasa Berusia 18 Ke Atas - PM Anwar
Kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai secara one-off sebanyak RM100 kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Sumbangan Asas Rahmah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan ini akan dikreditkan terus ke MyKad dan boleh digunakan bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 untuk pembelian barangan keperluan asas.Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif ini dijangka memanfaatkan seramai 22 juta rakyat dan melibatkan peruntukan keseluruhan RM2 bilion.
"Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara.
Anwar menambah dengan pengumuman tersebut, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025, dan ia kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa."Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400," kata Perdana Menteri dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung, hari ini.
"Mungkin ada dalam kalangan kita yang punyai kemampuan dan tidak memerlukan bantuan ini. Kerajaan berhasrat supaya jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun hadapan.
Sebelum ini, kerajaan memperluas dan menambah kategori barangan boleh dibeli menerusi bantuan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula 1 Mei lalu.
Anwar berkata perluasan kategori barangan itu melibatkan produk kebersihan rumah seperti sabun atau serbuk pencuci pakaian, pinggan mangkuk dan lantai, menjadikan kategori barangan berdaftar di bawah SARA meningkat kepada 14.
Sumber: AWANI
Must-Watch Video