Hiburan
Banyak Kelemahan, Elizabeth Tan Malu Dengan Persembahan Sendiri
Penyanyi Elizabeth Tan rasa malu dengan persembahan sendiri di malam Anugerah Juara Lagu 30 (AJL 30) yang berlangsung baru-baru ini.
Membawakan lagu Knock Knock, Elizabeth mengakui persembahannya pada malam itu banyak kelemahan.
“Sejujurnya, saya sendiri rasa malu dengan persembahan saya menyanyikan lagu Knock Knock di AJL 30 kerana terlalu banyak kelemahan. Saya tidak berkecil hati apabila dikritik kerana jika itu bukan saya, saya pun akan beri komen negatif,” kata Elizabeth.
Tidak berkecil hati apabila ada di antara peminat mengkritik vokalnya, Elizabeth mengambil semua kritikan dan memperbaiki dirinya di masa hadapan.
“Perasaan gementar dan tidak sihat pada malam AJL 30 menjadi punca utama kemunculan saya yang kelihatan seperti tidak bersedia selain kelemahan vokal saya.
“Semuanya sudah terjadi dan saya ambil ianya sebagai pengajaran. Apa yang penting, saya sendiri bersikap terbuka dengan kritikan dan mengambil komen-komen yang dilemparkan kepada saya untuk memperbaiki apa yang kurang,” katanya lagi.
Dalam perkembangan terbaru, Elizabeth bakal muncul dengan single ketiganya pada Mac ini. Menariknya, lirik lagu ciptaan Audi Mok dan Mike Chan ini ditulis olehnya sendiri.
Selain itu, Elizabeth juga bakal berduet dengan penyanyi Indonesia, Kunto Aji yang terkenal dengan lagu Sudah Terlalu Lama Sendiri. Single tersebut merupakan inisiatif baru Elizabeth untuk menembusi pasaran negara Indonesia.
Olahan semula: Kamaruddin Razal
Sumber berita: Mstar Online
Must-Watch Video