Laman Utama

Banyak Sebenarnya Fungsi FINAS! Pensyarah, Pelajar Pun Boleh Mohon Dana RM10,000 Untuk Kandungan Kreatif Media Sosial

gempak
Amri Hassan
22/11/2022
05:48 MYT
Sponsor Banner
Banyak Sebenarnya Fungsi FINAS! Pensyarah, Pelajar Pun Boleh Mohon Dana RM10,000 Untuk Kandungan Kreatif Media Sosial
Tiada unsur pilih kasih dalam permohonan dana kerana ia dilaksanakan dengan cara yang sistematik serta pemilihan kriteria yang cukup mantap untuk disalurkan kepada mereka yang layak.
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, pihak kerajaan menerusi FINAS ada menawarkan banyak dana untuk diagihkan kepada golongan yang layak dalam usaha untuk menggalakkan industri perfileman tanah air.
"Sebab itu ada pihak yang bertanya dulu kenapa ada pihak yang mohon dana dari FINAS tetapi tidak pernah dapat? Justeru, pihak kami membuka peluang kepada mereka yang layak untuk memohon dana dari FINAS kerana kita ada cara pemilihan yang sistematik dengan kriteria yang cukup mantap.
"Menerusi kepimpinan baru, pihak kami akan memastikan semua pihak yang mendapat dana dari FINAS memberikan 'outcome" seperti diharapkan. Kita tidak mahu selepas mereka dapat duit tetapi tiada hasilnya pula," katanya.

Dana untuk pensyarah, pelajar!

Md Nasir berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan pensyarah dan pelajar untuk memohon dana sebanyak RM10,000 untuk menghasilkan kandungan kreatif di media sosial.
"Pensyarah juga boleh memohon dana yang sesuai untuk menghasilkan filem dokumentari dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak produksi dan sebagainya.
"Selain itu, FINAS juga menawarkan dana untuk pembangunan modal insan dan permohonan juga dibuka kepada persatuan atau syarikat untuk menganjurkan bengkel dan kursus berkaitan perfileman di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. Tujuannya supaya modal insan dapat dibangunkan," katanya ketika menjadi panel forum perfileman yang berlangsung di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, baru-baru ini.
Forum yang mengupas topik menarik "Antara Cantik dan Bakat di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti? ini anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama FINAS serta Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM sempena menyemarakan sambutan Festival Filem Malaysia ke 32 (FFM32) pada 2 Disember depan.
Majlis pelancaran forum disempurnakan Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa.

Apakah FIMI?

Ditanya mengenai peranan FINAS, Md Nasir berkata, FINAS mempunyai banyak fungsi untuk menggalakkan sektor perfileman diperluaskan.
"Pihak kerajaan juga menyalurkan dana kepada FINAS pada setiap tahun untuk diagihkan kepada mereka yang layak untuk menggalakkan pembangunan industri perfileman tempatan.
"Antara usaha FINAS adalah tawaran rebat tunai 30 peratus melalui insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) dan tambahan sehingga lima peratus kepada produser filem tempatan dan dari luar negara.
"Ia juga satu usaha untuk menggalakkan produser filem dari luar negara untuk mengadakan penggambaran filem di negara ini," katanya.

Rebat tunai 30 peratus

Mengulas mengenai insentif FIMI, Kata Md Nasir, bagi produser tempatan yang menjalani penggambaran di dalam negara dengan perbelanjaan minimum RM1 juta, mereka akan dapat rebat tunai 30 peratus dan tambahan lima peratus.
“Manakala, produser dari luar negara yang mengadakan penggambaran di negara ini dengan perbelanjaan RM5 juta pula akan dapat rebat tunai 30 peratus dengan tambahan 5 peratus melalui 'cultural test' sekiranya mereka memaparkan elemen kenegaraan, kesenian, kebudayaan dalam filem dihasilkan.
"Menerusi insentif FIMI, pihak kami juga menetapkan produser dari luar negara perlu menggunakan sebanyak 30 peratus dari tenaga orang tempatan ketika mengadakan penggambaran filem di negara ini.
"Sebab itu kita perlu membangunkan modal insan kerana kita tidak cukup tenaga mahir dan kru yang berkualiti untuk memenuhi keperluan produser luar yang mengadakan penggambaran di negara ini," katanya.

Tapak pasarkan filem di luar negara

Menerusi Bahagian Penggalakan Penggambaran pula, kata Md Nasir, pihaknya menyediakan tapak untuk produser tempatan untuk turut sama menghadiri pasaran filem di luar negara.
"Selain menghadiri pasaran filem, produser juga boleh membeli kandungan dan menjual filem mereka kepada negara luar," katanya.
Selain itu, kata Md Nasir, salah satu cara untuk kita meluaskan pasaran filem tempatan ke luar negara ialah dengan menjalinkan kerjasama atau 'co-production' dengan produser dari luar negara seperti Thailand, Pakistan, Iran dan Turki.
"Berdasarkan pengalaman saya ke Bangkok sebelum ini, ada syarikat filem terbesar di sana yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan kita.
"Selain ada insentif FIMI, mereka juga berpendapat lokasi penggambaran di Malaysia lebih menarik berbanding Thailand kerana kita ada pulau, air terjun dan hutan hujan berbanding di sana yang banyak sungai," katanya.
Sementara itu, kata Md Nasir lagi, peranan FINAS juga untuk membangunkan ekosistem membabitkan pengedaran filem, panggung wayang yang turut memainkan peranan penting untuk menggalakkan lagi industri perfileman di negara ini.
“Tugas FINAS juga untuk memulihara filem lama termasuk filem yang rosak supaya dapat digunakan semula, mendigitalkan filem analog dan sebagainya lagi," katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live