Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Banyak Stunt Ganas Dilakukan Sendiri Dalam Kate, Mary Elizabeth Winstead Kongsi Momen Kena Lempar Ke Dinding

Syafiqah Jalal
09/09/2021 10:51 MYT
Bintang Hollywood Mary Elizabeth Winstead sekali lagi tampil dengan aksi serta kemahiran yang luar biasa dalam filem terbaharu Netflix, berjudul Kate.

Aksi dan lagak ngeri yang dilakukan dalam Kate kali ini benar-benar menonjolkan sisi yang berbeza dalam karier lakonan Mary Elizabeth.

Membawakan watak utama sebagai Kate, ia mengisahkan seorang pembunuh upahan yang sangat cekap dan terlatih. Akan tetapi, setelah gagal dalam misi yang menyasarkan seorang ahli yakuza di Tokyo, dia serta-merta mendapat tahu dirinya diracun.

Racun itu seolah-olah merupakan hukuman mati dengan perlahan yang memberi dia masa kurang daripada 24 jam untuk membalas dendam terhadap pembunuhnya.

Selain Mary, Kate dibintangi oleh pelakon hebat Woody Harrelson, Miku Marteneu dan ramai lagi serta diarahkan oleh Cedric Nicolas-Troyan.

Gempak berpeluang menemu ramah secara eksklusif dalam sidang alam maya bersama Mary Elizabeth baru-baru ini untuk bercerita lanjut mengenai pembabitannya dalam Kate.

Menurut Mary dia tertarik dengan Kate sejak pertama kali ditawarkan kepadanya. Lebih-lebih lagi apabila mengetahui Jonathan Eusebio yang mesra dengan panggilan Jojo merupakan pengarah lagak ngeri yang pernah bekerjasama dengannya dalam Filem Birds of Prey.

“Saya terus tertarik dengan idea filem Kate ini sendiri sejak pertama kali ia disampaikan kepada saya dan lebih menarik apabila saya tahu pula Jojo dan pasukannya juga akan terlibat.

“Ini kerana saya pernah bekerjasama dengan mereka dalam Filem Birds of Prey, dan saya amat menyukainya.

“Mula-mula agak ragu-ragu juga untuk terima kerana banyak aksi yang meletihkan perlu dijayakan. Tetapi bila membaca skripnya ia sangat bagus,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai watak Kate, Mary memberitahu ia satu karakter yang hebat kerana mencabar dirinya dari segi fizikal dan emosi.

“Kate adalah watak yang hebat. Rasanya lebih mencabar daripada apa yang pernah saya lakukan sebelum ini.

“Bukan sahaja mencabar dari segi fizikal malah juga emosi namun apabila dapat melakukannya ia sangat menggembirakan saya. Oleh itu saya tak mahu melepaskan peluang ini,” jelasnya lagi.



Sebahagian besar aksi lagak ngeri dalam Kate dilakukan sendiri, Mary memberitahu ia sesuatu kepuasan yang luar biasa.

“Sebilangan aksi lagak ngeri ini disesuaikan dengan saya sejak awal saya berlakon dalam filem ini lagi.

“JoJo telah membuat koreografi pergaduhan sedemikian rupa sehingga saya dapat melakukan sebahagian besarnya sendiri. Kerana dia mengenali saya dari Birds of Prey, dia menyedari apa yang saya mampu.

“Dia membuat koreografi pergaduhan dengan mengetahui, "Ini adalah sesuatu yang saya rasa Mary dapat lakukan."

“Oleh itu, sebahagian besar aksi aksi, saya lakukan sendiri. Terdapat banyak momen hebat juga, seperti dilemparkan ke dinding ke bilik lain. Saya tidak buat begitu. Tetapi semua perkara lain yang saya buat, dan saya sangat seronok. Saya sangat bersyukur dapat melakukannya,” ceritanya lagi.

Jangan lupa saksikan Kate yang bakal menemui penonton dalam saluran Netflix bermula 10 Spetember, esok.

Foto: Netflix

#Filem #Aksi #Stunt #Momen #Ganas #Kate #Mary Elizabeth Winstead
;