Sejak gambarnya menjual daging dendeng tular di media sosial baru-baru ini, ramai juga netizen yang mempersoalkan adakah pelakon veteran Roslan Salleh masih mendapat tawaran berlakon.

Ini kerana filem terakhirnya yang masih 'segar' adalah filem Munafik 2.

Gempak sempat menghubungi Roslan atau lebih mesra dipanggil Pak Lan untuk mengetahui perkembangannya kini.

Menurut Pak Lan, dia kini masih menunggu dua lagi filem untuk ditayangkan dalam masa terdekat iaitu filem Perjanjian Anak Setan dan satu lagi merupakan filem terbitan Datuk A. Aida.

"Namun setakat itu saja saya mampu berlakon. Selepas ini, mungkin akan berkurang sebab kesihatan saya tidak lagi mengizinkan.

"Memang banyak tawaran tapi itulah kesihatan saya yang tidak menentu buat saya kurang bertenaga. Faktor usia mungkin," katanya.

Menurut Pak Lan, antara penyakit dialaminya termasuklah kencing manis, tekanan darah rendah serta pernah mengalami jangkitan kuman pada paru-paru beberapa tahun lalu.



Jika mahu membeli daging dendeng Pak Lan, anda boleh lakukan carian 'Warung Hijau Rojak Sotong' di aplikasi Waze atau Google Maps. Jika mahu memesannya secara atas talian anda boleh terus WhatsApp ke nombor 017-3250843.