Laman Utama
“Banyak ‘Ujian’ Yang Saya Lalui Ketika Sedang Menuju Ke Tarikh Perkahwinan” - Mas Idayu
Penyanyi dangdut Mas Idayu mendedahkan yang dia berasa agak gementar menuju ke hari pernikahannya bersama penerbit eksekutif sebuah stesen televisyen, Muhammad Sufian Che Isa yang akan diadakan tidak lama lagi.
Mas Idayu berkata, rasa takut itu wujud memandangkan ada beberapa ujian yang dihadapi oleh dirinya dan pasangan ketika proses persiapan perkahwinan sedang giat dijalankan.
“Betul… perasaan ‘takut’ itu ada. Saya sangat gementar memandang ia (majlis nikah) semakin dekat.
“Banyak ujian yang saya lalui ketika sedang menunggu ke tarikh perkahwinan. Contohnya, sebelum ini belum pernah bermasam muka, tetapi kami bermasam muka sewaktu tempoh melaksanakan persiapan.
“Mungkin juga dugaan dan ujian buat kami. Apa yang saya harapkan agar saya dan pasangan akan terus pandang ke depan, tanpa menoleh ke belakang,” katanya kepada Gempak.
Mas Idayu berkata demikian ketika ditemui pada pusingan akhir Pencarian Wanita Melayu 2022 yang diadakan di Plaza Shah Alam, Shah Alam, Selangor semalam.
Bercakap mengenai jangkaannya selepas kembali bergelar isteri, Mas Idayu berkata yang dia belum pernah bekerja dengan bakal suami sebagai sepasang suami isteri.
“Dulu, kami bekerjasama sebagai kawan. Tapi lepas ni saya akan bekerja dengannya sebagai suami isteri. Saya ada tanya dia, tak takut ke nanti orang kata asyik ambil isteri untuk program yang diterbitkan.
“Tapi menurutnya, kalau program terbitannya layak untuk saya, pihak stesen akan panggil saya. Jika tidak layak, mereka akan panggil orang lain. Saya percayakan apa yang dia katakan pada saya,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Mas Idayu akan membuat satu pengumuman pada 21 Ogos depan.