Bapa Afdlin Shauki Meninggal Dunia Selepas Pembedahan

Syafiqah Jalal
Ogos 11, 2020 00:13 MYT
Pelakon Datuk Afdlin Shauki mengesahkan bapanya Aksan Abu Bakar telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 2.57 pagi tadi.
Bapanya disahkan meninggal dunia selepas menjalani satu pembedahan di HUKM Cheras malam tadi.
“Innalillah wainna illaihi rojiuun. Senyuman terakhir papa yang tak habis -habis membuat orang berasa tenang dan ceria.
“ Tiada lagi Aksan bin Abu Bakar. Bapa kepada 10 orang anak. Suami kepada dua orang isteri. Bapa ku yang tercinta,” katanya.
Afdlin berkongsi berita duka itu di akaun Instagram miliknya.
Menerusi entri tersebut dia memuat naik foto bapanya di hospital sebelum menghembuskan nafasnya terakhir.
Afdlin turut meminta agar segala kekhilafan bapanya dimaafkan oleh semua yang mengenali.
“Dia berpesan kepada ku yang dia meminta maaf dan ampun ke atas segala kesalahan yang pernah beliau lakukan kepada sesiapa yang mengenali beliau.
“ Tolong ampunkan ya. please! Beliau juga memaafkan semua orang dan juga berkata yang beliau tidak ada rasa dendam atau sakit hati dengan sesiapa.
“Ya Allah kau ampunilah dosa-dosa beliau dan terimalah amalan dan kebaikan beliau. Tempatkanlah roh beliau dikalangan roh-roh orang yang beriman. Al-fatihah. I love you papa... Assalammualaikum,” tambahnya lagi.
Entri tersebut mendapat perhatian pengikutnya yang rata-rata mengucapkan takziah.
#Meninggal Dunia #Afdlin Shauki #Bapa