HIBURAN

Bapa Atta Halilintar Kata Sentuh Menantu Perempuan Tak Batal Wuduk, Warganet Tanya Betul Ke?

Maliah Surip 03/03/2025 | 12:31 MYT
Bapa kepada Youtuber terkenal Indonesia, Atta Halilintar, Halilintar Anofial Asmid sedang mencuri perhatian warganet selepas dia mengeluarkan kenyataan bersentuhan dengan menantu perempuan tidak membatalkan wuduk.
Kenyataan itu dikeluarkan sewaktu dia menerima kunjungan adik Atta, Thariq yang datang ke rumah ibu bapanya bersama isteri, Aaliyah Massaid.
Selain hadir untuk bertemu ibu dan bapanya, pasangan yang sedang menanti detik menjadi ibu bapa itu turut membawa kek untuk memberi kejutan ulang tahun buat Fateh Halilintar.
Menerusi sepotong video yang tersebar, terlihat Aaliyah bersalaman dengan bapa mentuanya dan mencium tangan Halilintar.
Pada waktu itulah Halilintar terdengar mengatakan dirinya sudah mengambil wuduk kerana ingin menunaikan solat Zuhur.
"Rupanya ada menantu ni. Ini Abi sudah wuduk mahu solat Zuhur," katanya Halilintar seperti dilaporkan Viva.co.id.
Namun apa yang menimbulkan perdebatan dalam kalangan warganet adalah apabila Halilintar menyifatkan sentuhan yang terjadi di antara dirinya dengan Aaliyah si menantu tidak membatalkan wuduknya.
Tapi sama dia (salam Aaliyah) tak batal," tambahnya.
Ramai warganet terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan kerana tidak tahu hukum menantu bersentuhan dengan bapa mentua sewaktu mempunyai wuduk tidak batal.
“Memang bersentuhan menantu perempuan dengan bapa mentua tidak batal wuduk ya? Saya baru tahu,” tulis seorang warganet.
“Suami sama isteri pun batal wuduk kalau bersentuhan, tapi ini tidak?”tanya seorang warganet.
Namun menerusi pemantauan Gempak, Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan dari segi aurat, hubungan bapa mentua dengan menantu perempuan seperti bapa kandung dan anak perempuan. Maka bapa mentua dan menantu perempuan boleh bersalaman tanpa membatalkan wuduk.
#Viral #Indonesia #Menantu #Atta Halilintar #Wuduk