Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

‘Bapa Esra’ Pun Layan I-Tanggang Setiap Minggu - “Terima Ending Dengan Hati Terbuka…”

Izwan Isa
27/11/2021 06:45 MYT

Drama bersiri I-Tanggang sudah pun hampir ke penamatnya. Dihiasi dengan penceritaan yang mencemaskan saban minggu, episod terakhir drama ini bakal menjawab segala persoalan yang sebelum ini belum terjawab.

Begitulah respons yang diberikan oleh salah seorang pelakon I-Tanggang iaitu Wan Raja yang membawakan watak sebagai ayah kepada Esra.

Menurut Wan Raja, penonton tidak boleh menjangkakan sebarang pengakhiran yang jitu memandangkan setiap episod I-Tanggang tampil dengan jalan cerita yang berbeza.

“Sejujurnya, saya tidak menyarankan para penonton untuk menjangkakan apa pun bagi episod terakhir I-Tanggang.

“Hal ini kerana, dari episod satu hingga 12, tiada banyak hal-hal mengejutkan berlaku dan ia tidak sama dengan apa yang kita lalui seharian.

“Jadi, jangan jangka apa-apa, tengok dan surprise,” katanya kepada Gempak.

Menyambung perbualan, Wan Raja turut mengakui tidak ketinggalan untuk menonton drama lakonannya itu setiap kali ia ditayangkan di kaca televisyen.

“Saya yang meletakkan diri sebagai penonton juga tidak pernah melepaskan peluang untuk menyaksikan drama ini. Pernahlah sekali saya ketinggalan, tetapi lain-lain episod saya tengok.

“Jadi lepas dah habis ni, mesti akan rasa sedih sebab dah tiada lagi I-Tanggang untuk ditonton pada minggu seterusnya,” katanya sambil meminta agar penonton menerima pengakhiran drama bersiri I-Tanggang dengan hati yang terbuka.

Turut dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofea, Emelda Rosmila, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh episod akhir drama I-Tanggang bakal disiarkan pada Isnin depan 29 November 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.

#Wan Raja #I-Tanggang
;