HIBURAN
Bapa Hisyam Hamid Menangis Ketika Tayangan Perdana Filem Memori - “Filem Ini Banyak Persamaan Dengan Hidup…”
Pelakon, Hisyam Hamid berkongsi momen menyentuh hati apabila bapanya tidak dapat menahan air mata ketika menonton tayangan perdana filem terbaharunya, Memori, yang berlangsung pada Selasa lalu.
Menurut Hisyam, 40, kehadiran bapanya pada malam tersebut amat bermakna memandangkan filem itu banyak memaparkan babak yang seolah-olah mencerminkan kisah sebenar hidupnya.
“Filem ini sangat dekat dengan saya sebab banyak persamaan dengan kehidupan saya. Mungkin banyak persamaan dan kebetulan.
“Saya dibesarkan dalam keluarga berantakan disebabkan mak dan ayah berpisah. Sejak umur tiga atau empat tahun, ayah dah berpindah ke Malaysia. Saya tinggal dengan mak, datuk dan nenek di Singapura.” ujarnya.
Bukan itu sahaja, Hisyam turut memaklumkan bahawa bapanya sudah mula sebak sejak awal tayangan bermula, malah tidak berhenti menangis sehingga ke akhir filem.
“Mak tiri dan adik saya cakap, sebelum filem ditayangkan pun ayah dah menangis. Bila filem mula, dia lagi sedih.
“Ayah saya datang, sampai-sampai terus peluk dan cium saya. Lepas saya selesai temu ramah pun, saya tengok dia masih lap air mata.
“Selepas tayangan habis, saya pergi dekat dia, salam dan peluk dia.” katanya.
Filem Memori mengisahkan hubungan antara seorang bapa dan anak lelaki yang berdepan konflik emosi akibat luka silam. Namun, setelah si bapa disahkan menghidap penyakit Alzheimer, anaknya mula mencari kekuatan untuk memaafkan dan merapatkan kembali jurang yang lama terpisah.
Filem Memori bakal ditayangkan di seluruh pawagam bermula 31 Julai ini.