Bapa Noki K-Clique Meninggal Dunia, Ralat Tak Dapat Jumpa Buat Kali Terakhir; “Saya Masih Dalam Perjalanan Tak Sempat Tengok Ayah…”
10/12/2022 07:30 MYT
Ayah kepada penyanyi rap Noki-K Clique iaitu Aji Lee Ahsam, 66, dilaporkan meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Kampung Sipitang, Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.
Menurut Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji, 28, dia pada awalnya bagaikan tidak percayai mengenai berita pemergian bapanya saat dimaklumkan oleh abang sulungnya melalui panggilan telefon pada Jumaat malam.
“Berita itu saya terima masa saya dekat gym, abang saya yang nombor satu telefon saya.
“Saya mulanya memang tak percaya pun, saya tanya dia berkali-kali, betul ke, betul ke? Jangan lah main saya kata kan.
“Letak panggilan telefon saya buat video call dekat group whatsapp family . Abang saya tunjuk muka saya saya yang telah pergi.
“Arwah meninggal lebih kurang selepas waktu maghrib di Sabah manakala saya dapat tahu berita itu lebih kurang jam sembilan malam,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Terdahulu Noki turut memaklumkan berita pemergian bapanya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Dalam masa sama, Noki berkata bapanya sama sekali tidak mengalami sebarang penyakit kritikal melainkan masalah saraf sejak usia mudanya.
“Ayah saya tiada sebarang penyakit pun, tiada sakit jantung atau sebagainya tapi mungkin sudah tua.
“Cumanya dia daripada usia 30an sudah pakai tongkat, ada masalah penyakit yang telan muscle. Jadi waktunya banyak di atas katil sahaja. Makan minum kebanyakkan di katil sahaja. Kaki dia macam separuh lumpuh,” tambahnya.
Bagaimanapun kata Noki, dia berada sedikit ralat apabila tidak dapat bersama-sama ahli keluarga lain untuk memberi penghormatan terkahir kepada bapanya di tanah perkuburan disebabkan masalah tiket penerbangan.
“Saya masih dalam perjalanan dan tak sempat nak tengok ayah dikebumikan. Agak ralat dan sedih juga.
“Bukan saya tak usaha untuk cari tiket awal, saya dah usaha tapi yang ada tiket pagi tadi sahaja. Sudah ketentuan Allah,” tambahnya.
Difahamkan jenazah telah selamat dikebumikan tengah hari tadi di kampung halaman Allahyarham di daerah Sipitang, Sabah.