Pelakon veteran, Zainol Macwilson mendedahkan anak perempuannya Zahirah Macwilson bersama menantunya, Aiman Hakim Ridza serta cucu sudah tiba di Malaysia dua hari lalu.

Zainol turut meluahkan rasa syukur atas kepulangan mereka sekeluarga selepas lebih lima bulan berada di Perth, Australia.

“Alhamdullilah, anak, menantu dan cucu saya dah selamat pulang ke Malaysia, amin!

“Ribuan terima kasih kepada semua peminat-peminat Zahirah, Aiman, Mr Dimple (cucu saya) dan juga para peminat saya, di atas doa serta ucapan yang ikhlas dari semua,” katanya.

Berita gembira itu disahkan olehnya di akaun Instagram miliknya sejak dua hari lalu.

Pun begitu menerusi tinjauan Gempak di akaun IG pasangan tersebut masing-masing tidak mengemas kini apa-apa baik di entri meskipun di IG Story.

Sementara itu, Zainol dalam entri yang sama memuat naik foto dirinya yang kini sedang berada di Langkawi.
Menurut Zainol dia di Langkawi untuk menjalani sebuah penggambaran drama.

Dalam pada itu, Zainol sempat mempromosikan filem lakonan anaknya Bulan & Pria Terhebat yang kini ditayangkan di Astro First.

“Sempat saya mempromosi filem aksi pertama lakonan Zahirah Macwilson Bulan & Pria Terhebat yang sedang ditayangkan di Astro First.

“Filem ni, memang sesuai untuk tontonan umum. Semua lapisan umur boleh menonton ya dan lakonan barisan pelakon-pelakon hebat begitu mantap sekali. Semoga terhibur semua,” jelasnya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 20 Februari tahun lalu. Zahirah selamat melahirkan Isaac Raees di Perth pada 5 Januari lalu.

A post shared by Zainol Macwilson (@zainolmacwilson)