HIBURAN
Bapa Tidak Tahu Bila Tarikh Sebenar Eda Ezrin Akan Dibebaskan Daripada Penjara - “Anak Saya Akan Bebas Awal Jika…”
Bapa penyanyi dikir barat, Wan Norshaheeda Azlin atau lebih dikenali sebagai Eda Ezrin masih tidak tahu bila anaknya akan dibebaskan daripada Penjara Wilayah Narathiwat di Thailand.
Wan Ismail Wan Yusuf, 52, berkata setakat ini dia tidak mendapat maklumat berkenaan tarikh sebenar anaknya bersama suami dan empat lagi rakannya akan dibebaskan dan pulang ke negara ini.
"Difahamkan, pendakwa raya diberi tiga peluang untuk membuat permohonan lanjutan tempoh memfailkan rayuan terhadap anak saya iaitu sehingga 6 Julai ini.
"Pendakwa raya sebelum ini buat rayuan pertama untuk lanjutan tempoh tahanan, jika tiada rayuan kedua, maka anak saya akan bebas lebih awal," katanya ketika dihubungi hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Eda Ezrin yang juga penyanyi lagu Bea Sobar Bea bersama suami dan empat lagi rakan dijangka bebas dari Penjara Wilayah Narathiwat pada 7 Mei depan.
Jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, pihaknya belum menerima rayuan kedua daripada pendakwa raya wilayah selepas memfailkan rayuan kali pertama pada 2 April lalu.
Pada 6 Mac lalu, mahkamah yang bersidang selama tiga hari iaitu 11, 13 dan 14 Februari membebaskan Eda Ezrin; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.
Bagaimanapun, disebabkan semua tertuduh rakyat asing, mereka terpaksa tinggal di penjara sementara menunggu pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.
Wan Ismail berkata, pendakwa raya kini mungkin sedang mencari bukti untuk membolehkan mereka melanjutkan tempoh tahanan Eda Ezrin, tetapi jika tiada perkembangan mengenai perkara itu, tempoh tahanan anaknya akan habis tidak lama lagi.
Sumber: Berita Harian