Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Bapa Zamarul Hisham Meninggal Dunia, Sempat Tunai Hasrat Terakhir Mahu Cetak Foto Keluarga - “Ya Allah Rupanya Dia Nak Hias Dekat Sini…”

Asyikin Mayudin
31/05/2023 03:25 MYT
Pelakon Zamarul Hisham berkongsi berita duka mengenai bapanya iaitu Mohamed Mohamed Zain yang meninggal dunia pada Selasa.

Zamarul menerusi laman Instagram miliknya meluahkan rasa sedih dengan pemergian bapanya yang sentiasa menjadi teman bicara dan pendengar setianya.

“Innalillahiwainnailaihirojiun… tiada lagi teman bicara, teman untuk berkongsi rasa, pendengar setia. Bak baru dua hari lepas Sham balik kita berbual panjang, ketawa ceria tapi hari ni Bak pergi tinggalkan kami semua.

“Al-fatihah buat Bak, semoga Bak tenang di sana. Semoga ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” kongsi Zamarul.

Dalam pada itu, isteri kepada Zamarul iaitu aktres Diana Rafar juga berkongsi berita sedih itu dan mendedahkan hasrat terakhir bapa mentuannya yang mahu mencetak gambar keluarga dua hari lalu.

“Ya Allah dah tak ada Bak… baru jumpa dua hari lepas. Dia minta print gambar ini, nak letak dalam frame, lepas tu dia call dua hari lepas, nasib baik Kash buat, kita hantar la dua hari lepas.

“Ya Allah rupanya dia nak hias dekat sini, sedihnya. Special nya Bak, boleh tahu, boleh suruh frame gambar lagi,” kata Diana.

Difahamkan jenazah telah dibawa ke Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi untuk proses mandi, kafan dan solat jenazah pada pukul 7.30 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Baru Bangi (Sg Tangkas) sekitar pukul 10.15 pagi tadi.


#Zamarul Hisham #Diana Rafar #Diana #Bapa Zamarul #Zamarul
;