Hiburan

Barang Rumah Bakal Dilelong, Vida Tak Cepat Melatah - “Insya-Allah Saya Dipihak Yang Benar & Perkara Itu Tidak Akan Berlaku”

gempak
Mya Amri
09/01/2025
04:50 MYT
Sponsor Banner
Barang Rumah Bakal Dilelong, Vida Tak Cepat Melatah - “Insya-Allah Saya Dipihak Yang Benar & Perkara Itu Tidak Akan Berlaku”
Usahawan kontroversi, Datuk Seri Vida tampil menjelaskan perkara sebenar mengenai isu tuntutan hutang oleh sebuah syarikat kontraktor sebelum ini.

Tak menjalaskan tugas dengan baik

Menurut Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 54, sebelum ini dia sudah membayar sebanyak RM3.5 juta kepada kontraktor itu namun mendakwa pihak terbabit tidak melaksanakan tugas mereka dengan baik.
“Semua tidak tahu apa yang benar-benar terjadi. Saya ni buat studio bayar duit dahulu iaitu ketika dia (pihak kontraktor) menunjukkan contoh reka bentuk studio tersebut.

“Saya mahukan ianya siap dalam masa tiga bulan namun menurutnya, mereka tidak cukup bajet.

“Maka saya perlu bayar dahulu RM3 juta, kemudian tak cukup dan ada lagi tambahan lain, jadi RM3 juta setengah.

“Tiba-tiba bila dia dah dapat duit, dia berjalan entah ke mana. Saya hanya berurusan dengan orang bawahan.

“Jadi apa yang saya nak tak dapat. Studio itu tidak ada tandas dan bekalan elektrik, tak munasabah,” jelasnya.
Vida berkata demikian ketika ditemui semasa malam anugerah Nona Superwoman Award 2024 yang berlangsung di M World Hotel, Petaling Jaya pada Rabu.

Acara lelongan ditunda

Dalam pada itu ditanya mengenai perkembangan terkini acara lelongan barangan di rumahnya, Vida memaklumkan ia ditunda buat sementara waktu.

“Digantung dan ditunda untuk sita. Insya-Allah saya dipihak yang benar dan perkara tersebut tidak akan berlaku,” ujarnya.

Bagaimanapun, Vida tetap optimis dan yakin dia berada di pihak yang benar.
“Kita ini kalau nak berniaga jangan tipu orang lain. Saya reda dan yakin saya akan menang. Ada ujian yang perlu saya lalui dan Allah nak bagi ganjaran kepada kita.
“Segalanya melalui peguam namun saya tidak duduk diam, ada usaha dan ikhtiar serta tawakal,” ulasnya.
Terdahulu, pada 25 November lalu, media melaporkan aset milik Vida di kediamannya yang terletak di Persiaran Bukit Meru, Ipoh Perak terpaksa disita susulan tidak membayar hutang berjumlah RM1,060,285 kepada kontraktor yang dilantik.
Hutang tersebut adalah berkenaan pengubahsuaian sebuah kilang di Shah Alam, Selangor menjadi studio pada tahun 2018.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024