Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie berkongsi pengalamannya berlakon dalam filem Kampung Latah Kena Kuarantin.

Menurut Awie, keunikannya filem ini adalah terletak kepada para pelakon yang sememangnya mempunyai sifat latah dalam diri mereka.

“Pengalaman saya bekerja dengan orang-orang yang melatah, pertama melatah itu tak apalah lagi, yang kedua, mereka semuanya ada nama dalam industri.

“Saya sebenarnya pun panik juga nak berlakon dengan mereka yang melatah. Melatah dan berlakon bukan satu benda yang mudah. Susah sebenarnya nak kawal orang-orang melatah ini berlakon.

“Dalam berlakon itu, mereka nak kena melatah. Melatah pula bukan main-main, jenis yang sungguh-sungguh. Ini adalah bakat luar biasa yang dianugerahkan kepada mereka.

“Saya cukup kagum dengan mereka ini sebab selepas melatah mereka boleh control dan masuk balik dalam karakter asal mereka,” katanya ketika ditemu bual secara virtual menerusi IG Live Gempak baru-baru ini.

Berbicara mengenai Kampung Latah Kena Kuarantin, Awie memberitahu beliau harus melakukan sesi latihan terlebih dahulu sebelum penggambaran berlangsung.

“Saya kena buat sesi latihan dulu dengan mereka beberapa kali sampai betul sehingga dah tak boleh nak ketawa lagi, kemudian barulah kita memulakan penggambaran.

‘Kalau tidak nanti susah sebab kita baru angkat tangan dia dah melatah. Tetapi secara keseluruhannya saya memang puji mereka semua,” katanya.

Selain itu, dia juga memuji kredibili para pelakon yang bersikap professional sepanjang penggambaran filem tersebut.

“Dalam Kampung Latah Kena Kuarantin karakter saya adalah seorang bomoh, jadi kerja saya adalah cuba untuk buat mereka melatah.

“Apa yang cukup saya kagumi, mereka ini melatah lepas tu tiba-tiba bila tiba saat berlakon mereka terus in character, saya rasa ini memang satu benda yang superb!

“Walaupun melatah, mereka tetap boleh habiskan kerja on time dan tiba-tiba masuk karakter balik tu memang wow, dasyat,” komennya.

Dalam perkembangan terbaharu, Awie kini sibuk membuat persediaan bersama kumpulan Wings untuk album penuh selain bakal mengadakan konsert virtual endemic tidak lama lagi.

Jadi yang mana belum tengok tu jangan lupa tau tonton Kampung Latah Kena Kuarantin di pawagam rumah anda, Astro First (saluran 480).

Anda juga boleh strim Kampung Latah Kena Kuarantin di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.


Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Kampung Latah Permai, sebuah kampung yang unik dan menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara kerana ia satu-satunya lokasi di dunia yang mempunyai kadar penduduk ‘melatah’ yang ramai.

Ajin (Azhan Rani) merupakan ketua pemandu pelancong untuk syarikat Latah Permai Travel & Tours, bersama rakan kongsinya, Jamilah (Nazia Mustafar), Eton (Ieda Moin) dan Din (PS Mansur).

Gelagat mereka sering menceriakan penduduk kampung dan juga pelancong. Dalam pada itu, Ajin menaruh perasaan terhadap Juanita (Elisya Sandha).

Tetapi Apoi (Joey Daud) telah dahulu menghantar rombongan meminang Juanita dengan mengikut adat resam dan budaya melayu, namun pinangan Apoi ditolak.

Apoi bersama konconya Abon (Bell Ngasri) dan Anjang (Wanns Ahmad) melakukan sesuatu kerana tidak berpuas hati.

Selang beberapa hari kemudian, Kampung Latah Permai yang ceria, tiba-tiba dilanda sindrom melatah yang tidak terkawal sehingga menimbulkan pelbagai kes merbahaya seperti melatah sehingga koma, melatah sehingga meninggal serta melatah sehingga terbunuh rakan atau pasangan.