Salah satu elemen penting dalam filem seram The Conjuring yang dirilis pada tahun 2013 adalah kediaman berkonsepkan ladang yang terletak di Rhode Island.

Digelar sebagai rumah paling berhantu di Amerika Syarikat, kediaman yang baru diiklankan oleh Realtor Mott & Chace Sotheby’s International Realty tersebut kini sudah dibeli.

Identiti pembeli yang membeli rumah dengan harga $1.2 juta atau sekitar RM5 juta itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Menerusi laporan media antarabangsa, rumah yang menurut legenda dihantui oleh kehadiran pemilik asalnya, Bathsheba Sherman, yang tinggal di rumah itu pada tahun 1800-an tersebut telah dijual dengan harga sekitar tiga kali ganda sewaktu dibeli pada tahun 2019.

Diketahui, kediaman tersebut telah dibeli oleh pasangan paranormal pada tahun 2019 dengan harga sekitar $439,000 atau RM1.8 juta.

Sepanjang mendiami rumah itu, pasangan tersebut telah menjadikan ia sebagai 'lokasi wajib lawat' jika ingin mengalami kejadian aneh dan menyeramkan. Mereka juga menyewakan bilik untuk mereka yang berani bermalam di kediaman tersebut.



Ironi, pemilik sebelumnya menjual kediaman tersebut bukan kerana dibayangi peristiwa mistik atau kejadian aneh. Sebaliknya dia mengambil keputusan menjual rumah itu selepas dikunjungi terlalu ramai orang yang mahu melihat kediaman tersebut selepas ia muncul menjadi 'ikon' dalam filem The Conjuring.

"Sehingga hari ini telah terjadi banyak kejadian aneh yang dilaporkan. Kisah-kisah mengerikan, insiden, dan ingatan penduduk dan pengunjung hartanah itu telah diceritakan dalam beberapa bentuk medium termasuk buku, filem dan program televisyen," tulis keterangan mengenai rumah tersebut.

Untuk rekod, filem seram tersebut sebenarnya tidak menjalani penggambaran di rumah itu. Namun, pengarahnya mengambil latar cerita legenda keluarga yang mendiami rumah tersebut sebagai fokus naskhah.

The Conjuring yang kemudiannya menjadi salah satu filem seram paling laris itu dibintangi oleh Patrick Wilson dan Vera Farmiga. Mereka memainkan peranan sebagai pasangan paranormal bernama Ed dan Lorraine Warren.

Kredit Foto: FoxNews, Wikipedia