Baru dua tahun membeli sebuah agam, pasangan selebriti Hollywood popular, Joe Jonas dan Sophie Turner membuat keputusan untuk menjualnya pada harga AS$16.75 juta (bersamaan RM70 juta).

Memetik laporan HollywoodLife, kediaman mewah tersebut terletak di kawasan perumahan golongan elite di Royal Oaks, Encino, California.

Rumah agam tersebut mempunyai keluasan 15,000 kaki persegi dengan sembilan bilik tidur dan 11 bilik mandi.

Ia juga dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan mewah lain seperti kolam renang, gimnasium hinggalah salon penggayaan rambut.

Bagaimanapun, Joe, 32, dan Sophie, 25, tidak menyatakan sebarang sebab penjualan kediaman tersebut.

Namun, sumber mengatakan mereka bakal berpindah ke kediaman yang tidak kurang mewahnya selepas ini.

Pasangan popular ini membeli rumah agam itu dengan harga AS$14.1 juta (RM59 juta) pada 2019.

Secara numerik, pasangan ini meraih keuntungan daripada hasil jualan itu tidak termasuk kos lain yang berkaitan.

Sekadar info, Joe dan Sophie mendirikan rumah tangga pada 1 Mei 2019.

Hasil perkongsian hidup, mereka memiliki seorang cahaya mata perempuan, Willa yang hampir memasuki usia setahun.

Foto: American Luxury & The Knot News