Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Baru Lancar Trailer, Mechamato Dah Trending Di Twitter!

Amri Hassan
04/01/2021 13:40 MYT
Monsta dan Astro Shaw melangkah ke tahun 2021 dengan melancarkan trailer rasmi filem animasi terbaru, Mechamato.

Monsta yang sebelum ini terkenal dengan BoBoiBoy kini membawakan watak adiwira baru, Amato.

Amato merupakan ayah kepada BoBoiBoy dan telah membuat kemunculan ‘cameo’ pertamanya pada penghujung kredit filem BoBoiBoy Movie 2.

Filem Mechamato adalah sebahagian daripada Power Sphera Universe dengan kronologi masa era pra-BoBoiBoy iaitu sewaktu Amato masih di alam persekolahan.

Amato secara tidak langsungnya telah menjadi tuan kepada MechaBot — Power Sphera dengan Kuasa Mechanize yang boleh menukarkan objek biasa menjadi peralatan canggih. Tanpa disangka-sangka, MechaBot juga menjadi buruan Grakakus, alien sibernetik yang sanggup melakukan apa saja untuk memiliki MechaBot.

Apabila bandar Kota Hilir diancam bahaya, Amato dan MechaBot harus berganding tenaga dan menggunakan Kuasa Mechanize untuk menjadi adiwira yang bergelar Mechamato.

Tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar buat industri perfileman. Namun, situasi ini tidak menghalang Monsta untuk kekal komited dalam menghasilkan animasi yang terbaik untuk negara sekaligus meneruskan momentum yang dikecapi susulan kejayaan daripada filem BoBoiBoy Movie 2.

Fasa produksi filem Mechamato kini hampir selesai dan ia bakal ditayangkan di seluruh negara apabila keadaan pasaran kembali pulih dan pawagam-pawagam telah dibuka sepenuhnya.

Mechamato merupakan projek terbesar dari Monsta untuk tahun 2021, sekaligus menghasilkan animasi tersebut dalam bentuk filem dan siri.



Yang lebih membanggakan, siri animasi Mechamato bakal menembusi pasaran antarabangsa menerusi saluran Cartoon Network yang akan disiarkan di lebih 20 buah negara di rantau Asia Pasifik termasuk negara-negara seperti Australia, New Zealand, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong dan Taiwan.

Trailer rasmi filem Mechamato ini telah mencetuskan fenomena di laman sosial media apabila hashtag #MechamatoMovie menjadi ‘Trending’ di tangga pertama setengah jam selepas pelancaran dengan lebih 7 juta kongsian di laman Twitter, diikuti dengan hashtag #Mechanizing2021 ditangga ke-9.

Pencarian ‘Mechamato’ dan ‘Ayah BoBoiBoy’ juga telah menjadi bualan netizen dengan hampir 3 billion hantaran dalam tempoh 12 jam trailer ditayangkan.

Sementara di Youtube, trailer ini mencatatkan ‘Trending’ di tangga pertama bagi kategori filem di Malaysia dan tangga ke-3 bagi kategori filem di Indonesia.

Monsta dan Astro Shaw berharap dengan pelancaran trailer rasmi filem Mechamato ini, ia dapat mengujakan para peminat dan penggemar filem tanah air.

Nantikan kemunculan filem Mechamato di pawagam-pawagam seluruh Malaysia tidak lama lagi. Filem Mechamato menjanjikan pengalaman yang pastinya akan dapat menghiburkan seisi keluarga.


#Trending #BoBoiBoy #Twitter #Trailer #Mechamato
;