Pengarah filem Mat Kola, Hafiz Nafiah mendedahkan berdepan cabaran cuaca hujan lebat sepanjang penggambaran filem sulungnya di Kedah.

Jelas Hafiz, cuaca yang tidak menentu di Kedah memaksanya menukarkan screenplay secara spontan.

"Baru nak ‘shoot’ hujan turun dengan lebatnya hingga kami terpaksa tukar ‘screen play’. Contohnya, terpaksa tukar babak Che Som pakai payung untuk disesuaikan dengan keadaan cuaca ketika itu.

"Bagaimanapun, Tuhan permudahkan sepanjang penggambaran filem ini. Selain mengarah, saya juga sebagai Penerbit Penyelaras dan buat sehabis baik untuk mengawal bajet sedia ada," katanya.

Mengulas sasaran kutipan, kata Hafiz, dia hanya melakukan kerja seikhlas hati hingga filem itu siap.

"Saya tak nak letak sasaran kutipan kerana kita sudah usaha yang terbaik kerana ini filem pertama saya dan selebihnya saya serahkan pada Tuhan," katanya.



Ditanya barisan pelakon, kata Hafiz, semua pelakon utama dan pembantu sangat profesional dan memberikan kerjasama terbaik di lokasi penggambaran.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Rozita Che Wan (Che Som) Ropie (Pak Sheikh), Putri Hanan (Maliah), Fendi London (Bang Lah), Mohd Hafeezul Yop (Joe Klipop), Abang Gee (Abang Gee), Zainon Ismail (Bang Non), Suhaili Che Rus (Zali),Cikgu Akop (Pak Hashim) dan Pak Abang (Badrul).

"Rata-rata pelakon dari Kedah dan mereka tiada masalah untuk dialek utara serta semuanya kelakar," katanya.

Mat Kola bakal ditayangkan di 65 pawagam seluruh tanah air bermula 21 September ini.