Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Baru Nyanyi 4 Lagu, Sam Smith Tamatkan Konsert

Maliah Surip
26/05/2023 08:50 MYT
Penyanyi Sam Smith membuat peminat yang hadir ke konsertnya kecewa apabila menamatkan persembahan hanya selepas menyanyikan empat buah lagu.

Smith menamatkan konsert yang berlangsung di AO Arena di Manchester dengan alasan mengalami masalah kesihatan vokal.



BBC melaporkan Smith membuka persembahan dengan lagu hitnya, Stay With Me lampu lokasi konsert berlangsung dipadamkan selepas tiga lagu berikutnya.

Antara lagu yang sempat dipersembahkan adalah I’m Not The Only One, Like I Can dan Too Good At Goodbyes.

Persembahan Smith bagaimanapun ditamatkan dengan penyanyi itu berlalu meninggalkan pentas.

Penghibur berusia 31 tahun tersebut kemudian dilihat membuat permohonan maaf kepada peminat menerusi satu hantaran yang dikongsikan di Instagram Story miliknya.

Dia mendakwa berdepan dengan isu kesihatan dan diserang virus sejak beberapa minggu lalu.

“Sejujurnya saya tidak tahu mahu cakap apa. Saya berdepan dengan virus dan masalah kesihatan sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan telah mengembara ke seluruh pelusuk Eropah dengan siri persembahan yang hebat.

“Saya juga sihat sewaktu melakukan latihan dan sangat teruja untuk memberikan yang terbaik kepada Manchester dengan pengakhiran yang penuh dengan kejutan.

“Tapi sewaktu mendendangkan lagu ketiga, saya berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan suara.

“Saya berdoa agar semuanya baik-baik sahaja tapi selepas lagu keempat saya berasa memang ada sesuatu yang tidak kena.

“Saya sudah mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan kembali suara dan menyanyi tetapi tidak berhasil.

“Hati saya hancur kerana tidak dapat menghabiskan persembahan malam ini. Saya sayang anda semua. Saya minta maaf,” tulisnya panjang lebar.

Ironi ini bukan persembahan pertama milik Smith yang tidak sempat ditamatkan. Smith pada April lalu membatalkan persembahannya di Glasgow dan Birmingham dan dianjak ke tarikh baru kerana faktor kesihatan.
#Penyanyi #Viral #Konsert #Sam Smith
;