Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Baru Nyanyi, The Weeknd Hentikan Konsert Yang Dihadiri 70,000 Peminat

Maliah Surip
06/09/2022 14:40 MYT
Penyanyi The Weeknd menghentikan nyanyian pada malam kedua dalam rangka konsertnya, After Hours Til Dawn, di SoFi Stadium, Los Angeles pada hujung minggu lalu.

Pemilik nama sebenar Abel Tesfaye ini dilaporkan sejumlah media antarabanga terpaksa menghentikan persembahannya hanya selepas mendendangkan lagu Can’t Feel My Face.

Suara penyanyi berusia 32 tahun itu perlahan, tidak kedengaran dan tiba tiba hilang pada pertengahan lagu. Itu merupakan lagu ketiga yang didendangkannya di hadapan lebih 70 ribu peminat yang memenuhi stadium.

“Saya tidak tahu apa yang terjadi, tapi saya kehilangan suara,” kata penyanyi kelahiran Toronto, Kanada itu.

Kenyataan itu diberikan The Weeknd selepas dia tidak menghabiskan nyanyian, masuk ke belakang pentas sebelum beberapa minit kemudian keluar bertemu penonton.

“Perkara seperti ini membunuh saya. Saya tidak mahu berhenti dari melakukan konsert ini, tapi saya tidak mampu memberikan kualiti persembahan yang baik. Saya minta maaf,” katanya seperti dilaporkan Variety.

Media sama melaporkan The Weeknd sudah merasakan ada yang tidak kena pada kotak suaranya saat menyampaikana lagu pertama lagi.

Namun terdapat sesuatu yang ganjil dan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat adalah konsert tersebut dirakamkan untuk projek The Weeknd yang akan ditayangkan di siri HBO The Idol.

Bintang siri tersebut, Lily-Rose Depp dilhat berada di atas pentas untuk salah satu babak yang menunjukkan kesukaran dan jatuh bangun dalam dunia seni yang sangat kejam.

Sementara itu banyak peminat melahirkan rasa kecewa terhadap insiden yang berlaku. Hal itu lantaran mereka telah menunggu lama untuk menyaksikan konsert yang telah dua kali tertunda kerana pandemik COVID 19.

The Weeknd dijangka menyambung siri konsertnya di Toronto pada 22 September ini.

Kredit Foto: Complex

#Konsert #Hollywood #peminat #The Weeknd #Nyanyi #Henti #Can’t Feel My Face
;