Baru sehari tayangan, filem 10 Tips Tipu Bini menduduki tangga pertama carta top 5 di Astro First hari ini (Jumaat).

Filem pertama terbitan produksi milik Datuk Awie iaitu Rumah Produksi Merah ini mendahului filem animasi Upin Ipin Keris Siamang Tunggal, Saka Nan Sepi, Peninsula dan Biskoth.

10 Tips Tipu Bini yang diarahkan Azizi Chunk Adnan bergenre komedi ini membuka tirai Astro First pada 2021 bermula Khamis, 7 Januari (semalam).

Lebih menarik, 10 Tips Tipu Bini menampilkan barisan pelakon komedi popular tanah air seperti Ropie, Joey Daud, Azlee Senario dan Vicha serta pelakon handalan Khir Rahman, Datuk Awie, Nasir Bilal Khan dan Nazia Mustafar.

Menerusi filem ini, Datuk Awie yang memegang watak sebagai Brother Love bertindak sebagai pemberi tips kepada tiga sahabat karib untuk menipu isteri masing-masing.

Kepada anda semua yang ingin bergelak ketawa bersama keluarga, apa kata tonton 10 Tips Tipu Bini sekarang! Serius, pecah dan tak kering gusi!

Filem ini mengisahkan tentang tiga sahabat baik Raff (Ropie), Kay (Khir Rahman) dan Jepp (Joey) yang bekerja sebagai Pengarah Kreatif di syarikat pengiklanan Grand Poyo Advertising & Events kepunyaan Dato’ Dean (Azlee Senario) di Kuala Lumpur.

Raff, Kay dan Jepp hebat di tempat kerja tetapi sebaliknya di rumah kerana takut dengan isteri masing-masing.

Mereka juga mempunyai kelab motor berkuasa tinggi Harley Davidson diberi nama Dubuk Liar. Raff, Kay dan Jepp selalu mempunyai keinginan untuk melakukan sesuatu tapi ‘takut-takut’.

Sehinggalah tiga orang gadis pelatih muncul di syarikat dan bekerja bersama mereka dan para suami yang mengalami masalah ‘krisis pertengahan umur’ ini mula memasang niat nakal untuk memikat tiga gadis tersebut.

Jadi bermulalah penipuan terhadap isteri masing-masing kerana mahu mendekati gadis-gadis muda iaitu Anna (Elizabeth Tan), Eisya (Amy Nur Tinie dan Sara (Monica Picca).

Nak tengok gelagat Raff, Kay dan Jepp menipu isteri mereka Aishah (Vicha), Khatijah (Ziema Din) dan Jas (Nazia Mustafar) saksikan 10 Tips Tipu Bini di pawagam rumah anda, Astro First (saluran 480) sekarang!.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton filem ini seisi keluarga secara berulang-ulang dalam tempoh 48 jam!