BERITA
Bas Bawa Pelajar UPSI Terlanggar Belakang Alza - Polis
Sebuah bas persiaran yang hilang kawalan dipercayai menjadi punca nahas tragik yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli–Gerik, pada Isnin.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang membawa 42 pelajar itu sedang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Menurut beliau, MPV berkenaan dinaiki sepasang suami isteri bersama dua anak mereka berusia enam dan tiga tahun, dalam perjalanan pulang ke Baling, Kedah.
“Apabila tiba di tempat kejadian, bas yang disewa khas oleh pelajar UPSI untuk pulang ke Tanjung Malim telah melanggar belakang Perodua Alza sebelum hilang kawalan.
“Kemalangan itu mengakibatkan 15 pelajar maut, manakala 27 pelajar lain cedera. Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya yang berusia 54 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini.
Datuk Noor Hisam berkata, jenazah 13 mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk proses bedah siasat, manakala dua lagi ke Hospital Gerik.
“Sebanyak 27 penumpang bas, iaitu 23 wanita dan empat lelaki berusia antara 21 hingga 23 tahun, serta pemandu dan kelindan bas, kini sedang menerima rawatan di HRPB, Hospital Gerik dan Hospital Taiping.
“Sementara itu, sepasang suami isteri bersama dua anak mereka dirawat di Hospital Baling, Kedah,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai dakwaan bas dipandu laju, beliau berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan, melibatkan pelbagai aspek termasuk kemungkinan masalah teknikal. Kes diklasifikasikan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Sinar Harian