Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan pembentukan pasukan projek Road to Gold dengan objektif untuk menyelaras usaha negara bagi meraih pingat emas di Sukan Olimpik.

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Belia dan Sukan YB Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri (Dr.) Norza Zakaria.

Dengan mengambil kira struktur dan kaedah pelaksanaan projek Olimpik sebelum ini serta baki tempoh hanya kurang setahun sahaja bagi menghadapi Olimpik Paris pada tahun hadapan, jawatankuasa ini akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan Program Podium yang mana ia memberi tumpuan kepada program persediaan atlet elit meliputi latihan harian dan latihan di luar negara.

Program itu termasuk lebih pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.

Manakala bagi Sukan Paralimpik, program emas para atlet diteruskan di bawah Program Podium di peringkat Majlis Sukan Negara (MSN).

Jawatankuasa Road to Gold ini akan memperkasakan Program Podium sedia ada yang diketuai oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) melalui pemantauan di peringkat Kementerian.

Ini akan mengukuhkan lagi jawatankuasa yang akan memberi fokus kepada menghapuskan sekatan, mengatasi had sedia ada dan menyediakan sokongan tambahan untuk bakal pemenang pingat negara.

Sokongan tambahan yang diperlukan akan disesuaikan mengikut keperluan setiap individu yang berpotensi melalui konsultasi dengan atlet dan jurulatih masing-masing serta tidak terhad kepada sokongan fizikal sahaja malah bagi keseluruhan kesejahteraan diri atlet.

Keperluan ini akan diberikan tertakluk kepada semakan berkala dan komitmen daripada atlet yang berpotensi untuk memenangi pingat.

Semua pelantikan adalah atas dasar sukarela, sebagai sebahagian daripada usaha pembinaan negara (nation-building) secara kolektif.

Di samping itu, Jawatankuasa ini juga akan secara aktif membina kerjasama strategik dengan sektor korporat agar mereka turut terlibat dalam projek nasional utama ini.

Peranan Chef de Mission dan timbalannya juga akan mencerminkan asas Jawatankuasa ini yang terdiri daripada pentadbir berkepakaran dan atlet bertaraf dunia.

Turut melengkapi Jawatankuasa ini ialah personaliti atlet utama negara iaitu Timbalan Chef de Mission, Datuk Nicol Ann David, Datuk Wira (Dr.) Lee Chong Wei dan legenda hoki, Datuk Mirnawan Datuk Haji Nawawi.
Mereka telah dipilih atas kepakaran serta pengalaman mereka yang tidak ternilai dan menjadi jambatan kukuh antara jawatankuasa dengan atlet Road to Gold yang dipilih.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League iaitu Datuk Stuart Ramalingam yang juga Ahli Lembaga Pengurusan MSN pula memegang jawatan sebagai Penyelaras Projek bagi jawatankuasa ini dan dibantu oleh Pn. Michelle Chai.

Latar belakang Datuk Stuart menjadikannya calon yang sesuai kerana peranan itu memerlukan kepakaran bagi menjalinkan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan secara strategik dalam memastikan objektif Jawatankuasa tercapai.

Kedua-dua Datuk Stuart dan Michelle membawa bersama mereka pengalaman kerja yang luas dengan badan dan agensi sukan antarabangsa.

Tugas segera Jawatankuasa ini adalah untuk mengenal pasti keperluan tambahan yang diperlukan bagi menjayakan misi meraih emas di Olimpik.

Jawatankuasa ini dianggotai oleh gabungan pentadbir dan bekas atlet seperti berikut:

Pengerusi bersama:

YB Hannah Yeoh
YBhg. Tan Sri (Dr.) Norza Zakaria
YBhg. Datuk Haji Hamidin bin Haji Mohd. Amin (Ahli Majlis FIFA), Chef de Mission
YBhg. Datuk Nicol Ann David, Timbalan Chef de Mission

Ahli Jawatankuasa:

YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan
En. Ahmad Faedzal bin Mohd. Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif, institut Sukan Negara (ISN)
YBhg. Dato’ Ahmad Najmi bin Abdul Razak
YBhg. Datuk Wira (Dr.) Lee Chong Wei
YBhg. Dato’ Mirnawan bin Datuk Haji Nawawi
Datuk Stuart Ramalingam, Penyelaras Projek
Pn. Michelle Chai, Pembantu Penyelaras Projek

Layari laman sesawang https://www.kbs.gov.my/home dan juga media sosial KBS untuk menyertai inisiatif ini.

Battleground Malaysia: Road to Gold merupakan sebuah inisiatif bersama Kementerian Belia dan Sukan yang diperkasakan menerusi program Rakan Muda iaitu Rakan Ekspresi dan Rakan Muzik.

Battleground Malaysia: Road to Gold akan dihoskan dalam tiga bahasa oleh Sherry Alhadad, Dennis Yin dan Saint TFC manakala selebriti versatile iaitu Zizan Razak akan memegang tanggungjawab sebagai juri.

Saksikan Battleground Malaysia: Road to Gold menerusi Astro RIA (Saluran 104) & SHOWCASE (Saluran 413) setiap Jumaat, 10 malam. Rancangan ini juga boleh distrim di aplikasi Astro Go.

Untuk info, Pertandingan ini memaparkan empat kapten tarian terkemuka yang ditugaskan untuk memilih troopers seramai sepuluh orang berdasarkan kebolehan menari mereka.

Kapten-kapten ini terdiri daripada pemenang pingat emas Sukan SEA acara Breaking iaitu Lego Sam, wakil Malaysia ke Sukan SEA, Khenobu, ahli kumpulan muzik 3P (Threee Production) Danny Lee dan juara Astro Battleground 2010 & 2011, Seven.

Mereka akan membentuk pasukan masing-masing dengan menguji kemahiran penari-penari yang bertanding menerusi pelbagai cabaran.

Rancangan ini turut membawa penari-penari dari pelbagai latar belakang untuk bertarung dengan gaya street dance mereka. Hanya penari yang terhandal akan kekal dalam pertandingan ini.

Astro akan mengadakan grand finale secara langsung pada 3 November di mana hanya pasukan tarian terhandal akan bertanding di hadapan juri-juri antarabangsa.

Pasukan juara akan membawa pulang RM100,000, manakala naib juara akan menerima RM30,000. Selain daripada itu, peserta-peserta dalam pasukan juara akan bersaing sesama sendiri untuk memenangi hadiah tambahan RM25,000.