Batuk Berdarah, Sharifah Zarina Berehat Sebulan Daripada Aktiviti Nyanyian - “Alhamdulillah Sekarang Dah…”
Penyanyi Sharifah Zarina mendedahkan bahawa dia perlu berehat selama sebulan daripada aktiviti nyanyian disebabkan menghidapi jangkitan kuman pada paru-paru atau pneumonia pada awal tahun lalu.
Sharifah Zarina atau nama sebenarnya Sharifah Zarina Wan Hassan, 44, bagaimanapun berkongsi keadaan kesihatannya kini semakin baik tetapi dia masih mengalami kesukaran untuk melontarkan vokal selain percakapannya terbatas.
“Pada awal tahun lalu, saya sakit, saya alami batuk berpanjangan,
“Saya pergi klinik doktor beri antibiotik tapi bila saya ambil tiada perbezaan. Masih batuk. Saya pergi klinik lain doktor bagi antibiotik lagi tapi makin teruk.
“Kemudian saya pergi hospital buat pemeriksaan rupanya saya ada pneumonia patutlah teruk sampai tak boleh tidur. Batuk yang muntah berdarah, sekarang baru saya okay sedikit selepas sebulan ambil masa berehat,” ujarnya ketika ditemui Gempak.
Vokal terganggu
Sementara itu, pelantun lagu Langit Ketujuh itu juga memaklumkan penyakit tersebut memberi kesan kepada vokal suaranya sehingga membuatkan dia terpaksa menunda rakaman lagu raya yang sepatutnya dijadualkan lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya.
“Memang memberi kesan kepada saya, sekarang pun saya susah nak menjerit tinggi.Suara saya macam lelaki memang hilang, batuk saya yang tahap muntah berdarah.
“Saya tidak sampai tahap masuk hospital cuma doktor memang bagi saya set ubat untuk rawat dari rumah sahaja.
“Alhamdulillah untuk sekarang ini saya sudah boleh masuk studio untuk rekod nyanyi saya dah lega,” katanya lagi.