Hiburan
Bau Rumi Tak Tiru Wangian Che Ta - Remy Ishak
Pelakon Remy Ishak menafikan minyak wangi keluaran pertamanya, Rumi by Remy Ishak menyamai bau wangian keluaran aktres Rozita Che Wan (Che Ta).
Menurut Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Bin Ishak, dia terkejut dengan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu kebetulan.
“Saya dah rancang untuk keluarkan produk wangian sendiri sejak tiga tahun lalu cuma saya agak sibuk dengan kerja membuatkan saya tangguh dahulu hasrat tersebut.
“Saya memang seorang yang sukakan wangian dan itu membuatkan saya terfikir untuk wangian sendiri.
“Bau Rumi tak tiru wangian (Precious by RCW) Che Ta dan kalau nak kata baunya sama , saya rasa itu hanya satu kebetulan kerana pewangi itu baunya subjektif.
“Secara jujur, saya sendiri tidak pernah mencuba wangian tersebut apatah lagi mengidu baunya,” katanya ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran Rumi by Remy Ishak di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Rabu.
Tambah Remy, proses pemilihan bau wangian Rumi dilakukan dengan begitu teliti dan dipilih sendiri olehnya.
“Saya mengambil masa selama dua minggu untuk menghasilkan bau Rumi dan saya akui agak sukar untuk mencari bau yang benar-benar menepati citarasa sendiri.
“Rumi agak peribadi buat saya sebab itu pemilihan dari segi bau, botol dan juga lambang bunga ros yang ada pada penutup botol itu adalah pilihan saya sendiri.
“Saya rasa lebih istimewa apabila nama Rumi itu saya ambil berdasarkan nama watak lakonan saya menerusi drama terbaru terbitan Astro berjudul Rumi & Jawi yang akan ditayangkan pada Ramadan nanti.
“Ini umpama hadiah buat peminat dan saya gembira apabila dapat berkongsi benda yang saya suka bersama mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, Remy juga lega apabila hasratnya untuk mengeluarkan produk sendiri tercapai selepas tiga tahun menyimpan impian.
“Alhamdulillah, akhirnya niat untuk mempunyai produk sendiri tercapai dan selepas ini saya berhasrat mahu lebarkan sayap dalam bidang perniagaan.
“Tapi pada masa yang sama, lakonan tetap menjadi keutamaan dan saya mahu mengukuhkan lagi nama dalam bidang tersebut,” ujarnya.
Rumi by Remy Ishak boleh didapati dalam dua pilihan berbeza iaitu Rumi for her untuk wanita dan Rumi for him bagi lelaki. Wangian tersebut dijual dengan harga RM49.
Dalam perkembangan lain, Remy bakal muncul menerusi teater Randai Cinduo Mato yang akan dipentaskan di Istana Budaya mulai 25 hingga 27 Mac depan.
Teks Oleh: Mya Amri
Must-Watch Video