Penyanyi Black Hanifah tidak mengenakan sebarang bayaran untuk penglibatan anaknya, Khaleef Dayyan ketika melakukan persembahan.

Menurut Black, dia menganggap kombinasi bersama Dayyan adalah strategi untuk single terbaru mereka, Pok Pet.

"Saya tidak mengenakan sebarang bayaran tambahan untuk Dayyan melakukan persembahan bersama saya.

"Bayaran hanya dibayar kepada saya kerana menganggap penglibatan Dayyan adalah strategi untuk single terbaru kami.

"Saya merasakan setakat ini tidak menjadi masalah untuk membawa Dayyan sekali kerana permintaan untuk membawa dia ke pentas lebih tinggi dari bapanya," katanya.

Black ditemui ketika Muzik Muzik 33 Separuh Akhir Minggu Pertama (SFMM33) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah berkata dia membenarkan Dayyan mengikutnya melakukan persembahan hanya pada tahun ini sahaja.

"Tahun depan Dayyan dah mula bersekolah dan dia akan berhenti daripada melakukan persembahan di pentas bersama saya.

"Saya akan menghantar Dayyan ke kelas dram, renang dan piano," katanya kepada Gempak.