HIBURAN

Bawa Konsep Borneo, Marsha Milan Gegarkan Malam Pertama Festival Muzik ASEAN-Korea ROUND 2025

Ainun Md Zooki 26/06/2025 | 14:55 MYT
Malam pertama Festival Muzik ASEAN-Korea 2025 (ROUND) membuka tirainya dengan penuh gilang-gemilang di Zepp Kuala Lumpur dan antara yang paling mencuri tumpuan sudah semestinya persembahan memukau daripada penyanyi, Marsha Milan.

Mewakili Malaysia pada hari pertama dengan penuh bangga, penyanyi yang berkelahiran Sabah itu tampil dengan konsep Borneo di pentas hebat itu.

Persembahan yang sarat elemen budaya dan muzik etnik itu jelas memperlihatkan identiti Marsha sebagai anak seni yang bangga mengangkat warisan negeri di bawah bayu ke pentas antarabangsa.

Marsha yang membawakan enam buah lagu antaranya Hening Rindu, Cinta, dan Sumandak Sabah yang disampaikan penuh emosi dan semangat.

Aura Borneo yang dibawanya nyata berjaya memikat penonton hingga seluruh dewan Zepp bergema dengan sorakan dan tepukan gemuruh.

“Saya sangat gembira dan berbesar hati dapat membuat persembahan di ROUND 2025. Ini bukan sekadar festival muzik, tetapi juga satu platform penting untuk memperkenalkan budaya dan muzik Malaysia, khususnya dari Sabah, kepada khalayak serantau,” katanya.

Kombinasi vokal hebat, kostum tradisional modern serta persembahan yang penuh jiwa menjadikan Marsha antara highlight utama malam tersebut.


Semangat dan kebanggaan terhadap budaya tempatan yang dibawanya turut mengangkat nama Malaysia di mata ASEAN dan Republik Korea.

Selain Marsha, malam pertama turut dimeriahkan dengan persembahan barisan artis hebat dari seluruh rantau ASEAN dan Korea seperti band rock terkenal dari Korea, Touched, Minh Toc & Lam dari Vietnam, He Lay dari Myanmar, kumpulan 1st One dari Filipina, Thay Champasak dari Kemboja serta rapper popular Singapura, Yung Raja.

Konsert yang disiarkan secara langsung menerusi KBS World itu merupakan sebahagian daripada usaha mempererat hubungan budaya antara negara ASEAN dan Korea Selatan menerusi muzik dan seni persembahan.

Untuk rekod, malam pertama ROUND 2025 turut menyaksikan persembahan hebat daripada barisan artis seperti TOUCHED (Korea), Minh Tốc & Lam (Vietnam), He Lay (Myanmar), 1st One (Filipina), Thay Champasak (Laos), Yung Raja (Singapura) serta penyanyi tanah air, Marsha Milan.

Festival yang berlangsung selama dua hari itu membuktikan bahawa muzik mampu menjadi jambatan penyatuan antara budaya, bahasa dan rakyat dari pelbagai latar belakang seiring dengan semangat Malaysia MADANI dan usaha negara untuk mengetengahkan kekayaan budaya di pentas global menjelang Visit Malaysia 2026.

Festival anjuran bersama Korea Broadcasting System (KBS) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) ini turut mencerminkan semangat Malaysia MADANI, yang mengangkat budaya sebagai medium perpaduan serantau.

Dengan tema “Come Around, Here to Shine”, ROUND 2025 bukan sekadar festival muzik biasa – ia adalah simbol kerjasama, persefahaman dan keindahan budaya Asia yang diraikan dengan penuh gaya.

#Konsert #Korean #Marsha Milan #Asean