Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Bawak Watak Ibu Psiko, Angelina Tan Bakal Beraksi Dalam The Ghost Bride!

Hanafis Haris
20/01/2020 10:16 MYT
Pelakon Angeline Tan teruja apabila buat pertama kalinya membawa watak psiko dalam drama siri terbaru The Ghost Bride.

Drama terbitan Netflix itu merupakan siri pertama dihasilkan di Malaysia yang menggunakan bahasa Cina.

Menurut Angeline atau nama sebenarnya, Tan Yoke Yeah, dia memegang watak sebagai seorang ibu dikenali sebagai Madam Lim.

"Saya pada awalnya hanya datang untuk uji bakat tapi saya tak tahu pun ini untuk siri Netflix. Niat saya hanya mahu belajar benda baru dan ternyata pengarah telah memberi saya satu kepuasan," katanya.

Jelasnya, perkara yang paling mencabar untuk berlakon dalam siri ini adalah untuk menjayakan watak psiko yang adakalanya tidak mempunyai dialog.

"Watak Madam Lim ni lain sikit kerana emosi dia berubah-ubah. Ada hari dia ok, tapi esoknya pula dia akan jadi psiko.

"Ada babak yang tiada dialog dan memerlukan ekspresi serta mimik muka yang kuat untuk memaparkan emosi tersebut.

"Malah saya juga perlu melakukan ekspresi menggunakan mata saja. Jadi itulah yang mencabarnya watak Madam Lim ini," katanya.

Angeline ditemui ketika sidang media majlis pelancaran The Ghost Bride di Ruma Hotel And Residences, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Difahamkan, penggambaran The Ghost Bride merangkumi beberapa lokasi sekitar Malaysia termasuk Johor Bahru, Pulau Pinang dan Ipoh.

Drama ini diarahkan oleh Ho Yuhang dan Quek Shio Chuan serta penerbit eksekutif, Zainir Aminullah.

Siri yang bakal ditayangkan 23 Januari ini menampilkan ramai pelakon hebat dari Taiwan, Singapura dan Malaysia.

Antaranya termasuklah Huang Pei Jia, Kang Jen Wu , Ludi Lin, Kuang Tian, Angeline Tan, Susan Leong, Jordan Voon dan Jojo Goh.
#Viral #Viral #Psiko
;