Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

“Bawalah Seni Dengan Adab…” – Teguran Lembut Zul Yahya Dipuji Warga Net

Fiza Kamarudin 14/11/2019 | 08:30 MYT
Selepas tular foto kontroversi dua pelakon baru-baru ini, Zul Yahya turut terpanggil untuk menegur aktor dan aktres tersebut.
Menerusi perkongsian Zul semalam (Rabu), pelakon senior itu telah menegur supaya hak agama tidak diabaikan ketika mencari rezeki.
Zul berkata, satu ketika dahulu dia juga pernah melakukan kesilapan sama, namun sampai bila ia akan berlaku sedangkan hari ini ramai yang berlumba-lumba untuk mendapat kemanisan agama.
“Mencari rezeki jangan diabaikan hak-hak agama.
“Dulu aku pun pernah melalui kesilapan-kesilapan ini tapi sampai bila kita nak lakukannya sedangkan hari ini ramai manusia berlumba-lumba untuk mendapat kebaikan dan kemanisan agama,” katanya.
Pesan Zul lagi, pelakon-pelakon baru yang masih diberi peluang berkarya seharusnya membawa seni bersama adab.
Tambah Zul lagi kepada semua yang terlibat dalam bidang seni hiburan tanah air supaya lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu kerana, sekarang ini aib mudah tersebar.
“Kepada adik-adik yang masih diberi peluang untuk berkarya di medan seni bawalah seni itu dengan adab dan tontonkan kepada mereka bahawa seni itu lebih indah dengan adab.
“Seni itu juga boleh menjadi asbab atau isyarat manusia datang kepada agama. Sedarlah kita hari ini semakin ramai manusia yang inginkan seni yang penuh dengan adab dan sunnah.
“Pesanan untuk semua yang terlibat di dalam bidang seni hiburan tanah air baik di depan layar di belakang atau pun pengemar-penggemar, hati-hati kerana hari ini semua perkara aib mudah tersebar.
“Berkasih sayanglah hanya kerana Allah SWT. Tingkatkan Sunnah, Sunnah membawa kejayaan dunia dan akhirat,” katanya.
Dalam pada itu di ruangan komen, rata-rata pengikut memuji teguran lembut dan membina dibuat Zul.
Posting Zul turut disokong beberapa selebriti tanah air yang meninggalkan tanda suka dan komen positif.
#Kontroversi #Zul Yahya
;