“Bayangkan Hasil Usaha Anda Dijual Tanpa Kebenaran” - Pengarah Keluarga Iskandar The Movie Terkilan Filemnya Dicetak Rompak!
04/08/2020 11:03 MYT
Penerbit Eksekutif dan Pengarah filem Keluarga Iskandar The Movie (KITM) Wan Hasliza Wan Zainuddin kesal apabila filem arahannya itu dijual secara haram di platform e-dagang.
Menurut Wan Hasliza, dia terkilan apabila masih ada individu yang mengambil jalan mudah untuk memperoleh ‘keuntungan atas angin’ hasil daripada karya orang lain.
Menurutnya, dia mula mengetahui mengenai kes tersebut selepas dimaklumkan oleh peminat setia siri Keluarga Iskandar.
“Saya terkejut sebenarnya. Saya dapat tahu pun daripada peminat yang hantar ‘screenshoot’ tentang penjualan terssebut.
“Terkilan, kecewa dan sedih. Siapa yang tak sedih kalau orang lain kaut keuntungan atas hasil usaha kita.
“Macam-macam cara ya mereka nak cetak rompak. Kalau dulu VCD, lepas tu beralih kepada website dan telegram. Now e-dagang pula,” katanya.
Jelasnya, laporan polis sudah pun dibuat dan dia menyerahkan kes tersebut kepada polis.
“Saya harap polis termasuk akan ambil tindakan sewajarnya pada pihak yang menjual karya-karya seni tempatan.
“Saya juga berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut memantau isu ini kerana pihak yang cetak rompak ni makin kreatif, ada saja taktik dan helah baru mereka.
“Apapun saya berterima kasih sangat kepada peminat setia Keluarga Iskandar yang bertindak pantas melaporkan kepada kami,” katanya.
Difahamkan, selain KITM, filem Ada Apa Dengan Dosa dikesan telah dijual tanpa kebenaran penerbit di platform e-dagang tersebut.
Walaubagaimanapun, iklan jualan tersebut telah pun diturunkan dari platform e-dagang tersebut selepas laporan dibuat.
BACA: FINAS Kecewa Platform E-Dagang Jual Filem Cetak Rompak, 'Keluarga Iskandar' Antara Mangsanya
Dalam padaitu, pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyatakan mereka tidak akan teragak-agak untuk menyekat laman yang menjual produk-produk cetak rompak.
Dalam satu kenyataan semalam, pihak SKMM memaklumkan tindakan itu akan dilaksanakan selepas mendapat makluman dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
BACA: MCMC Akan Sekat Platform E-Dagang Jual Produk Cetak Rompak