HIBURAN
“Bayangkan Jika Dalam Nasi Kita, Ada Orang Letak Pasir” - Nora Ariffin
Penyanyi Datuk Nora Ariffin mengakui kemelut rumah tangganya sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kerjaya seninya.
Fail cerai sebab mahu jaga diri & kerja
Menurut Nora atau nama sebenar, Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, tujuan dia memfailkan perceraian terhadap suaminya, Dr Rushdi, adalah untuk melindungi diri dan kerjaya seninya.
“Kami semua cari makan. Bayangkan jika dalam nasi kita, ada orang letak pasir.
“Saya bukan orang kaya, jadi saya kena buat sesuatu untuk melindungi diri saya dan kerjaya saya,” katanya kepada Gempak.
Nora berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, semalam.
Nora hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Sarah Mohd Ali dan ditemani anak perempuannya.
Sebelum ini, menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, Nora memaklumkan usaha untuk memulihkan rumah tangganya dengan Dr Rushdi sudah melalui pelbagai peringkat termasuklah sesi pertemuan dan perbincangan bersama pihak terbabit tetapi masih tidak mencapai kata penyelesaian.
Kata Nora, konflik tersebut telah menjejaskan keselamatan serta merosakkan reputasinya sebagai seorang artis yang sudah bergiat lama dalam industri muzik.
Untuk info, Nora pernah diceraikan suaminya, Dr Rushdi Ramli menerusi sebuah video pada Ogos lalu.
Selepas sebulan mengumumkan penceraian itu, penyanyi lagu Desa Tercinta ini memaklumkan dia dan suami sudah kembali rujuk.
Untuk rekod, Nora mendirikan rumah tangga dengan Rushdi dalam satu majlis yang diadakan sekitar hujung tahun 2021.
Nora sebelum itu pernah berkahwin dengan komposer Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.
Must-Watch Video