Laman Utama
"Bayangkan Kawan-Kawan Anak Di Sekolah Tanya, Atuk Kau Ke Tu?" - Datuk Awie
Vokalis kumpulan rock lagenda, Datuk Azhar Othman atau Datuk Awie mengakui teruja menanti kelahiran cahaya mata ke-enamnya bulan hadapan.
Awie berkata, isterinya Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, kini sedang menunggu hari untuk melahirkan cahaya mata mereka itu.
“Kalau ikut jangka masa yang diberikan doktor, isteri saya bakal melahirkan dalam tempoh dua minggu dari sekarang.
“Tapi, jantina anak biarlah dirahsiakan dulu sebab takut nanti berbeza pula dengan apa yang dijangka. Ada kes macam tu ya, jangan ketawa.
“Bersabarlah, nanti dia keluar kita semua akan tahu dia baby boy atau baby girl,” katanya kepada Gempak.
Ditanya tentang cabaran menimang bayi di usia emas, Awie mengakui banyak faktor yang menyebabkan beliau turut terfikir tentang perkara tersebut.
“Usia saya masuk 53 tahun pada 2021, saya pula dah lapan tahun tak timang bayi. Banyak juga benda yang saya fikir.
“Antaranya tentang kesihatan diri. Demi anak, saya nekad menjaga pemakanan dan menjalani gaya hidup lebih sihat.
“Bukannya apa, saya tak mahu nanti nampak tak sihat atau ‘terlalu tua’. Bayangkan kalau saya hantar anak ke sekolah, kawan-kawan dia tanya ‘atuk awak ke tu?’.
“Isteri pula muda lagi, esok-esok kalau sakit isteri menyampah! Jadi saya kenalah jaga kesihatan,” katanya ketawa.
Tambah Awie lagi, hikmah menimang bayi diusia emas menjadikan dirinya sentiasa berfikir dari sudut lebih positif.
"Alhamdulillah, dalam usia sudah mencecah 52 tahun saya dikurniakan seorang lagi cahaya mata. Ini adalah anugerah dan rezeki yang tiada bandingan dari Allah SWT.
“Ada hikmahnya. Saya kini banyak berfikir dari sudut positif dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan dan sangat berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk saya,” katanya.
Awie ditemui ketika majlis pelancaran filem pertama terbitan produksinya, Rumah Produksi Merah berjudul 10 Tips Tipu Bini di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur, petang semalam (Selasa).
Filem bergenre komedi arahan Azizi Chunk Adnan itu dibintangi oleh Khir Rahman, Ropie, Joey Daud, Elizabeth Tan, Jehan Miskin, Vicha dan Nasir Bilal Khan itu boleh ditonton di Astro First, saluran 480 mulai 7 Januari depan.
Filem 10 Tips Tipu Bini mengisahkan tiga sahabat baik yang takut dengan isteri masing-masing.
#Anak
#Wings
#Astro First
#Datuk Awie
#Sayap-Sayap Wings
#10 Tips Tipu Bini
#Rumah Produksi Merah
#Vokalis Wings