"Bayangkan Wanita Bercuti Di Resort Mewah" - Syaiful Baharim Comeback Dengan Koleksi Resort Wear

Amri Hassan
September 12, 2019 08:31 MYT
Pereka fesyen Syaiful Baharim kembali ke pentas peragaan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW2019) menerusi koleksi Resort Wear selepas berehat selama beberapa tahun.
Melalui penjenamaan semula SB, koleksi Resort Wear memfokuskan rekaan khusus buat wanita yang mendambakan percutian mewah.
Menarik mengenai koleksi kali ini, Syaiful bijak menjalinkan fabrik denim dengan letusan warna merah, putih, terracota dan cetakan-cetakan grafik eksklusif.
Malah, ada antara helaian rekaan Syaiful kali ini menggunakan fabrik yang selesa untuk dibawa bercuti misalnya kapas, kain kasa, sifon dan sutera.
"Saya mengambil masa selama enam bulan untuk melahirkan koleksi comeback khusus buat KLFW tahun ini.
"Sudah pasti sebagai seorang pereka fesyen, saya dapat merasai tekanannya tetapi perlahan-lahan perlu jujur dan ikhlas menghasilkan setiap helaian tanpa meninggalkan identiti saya," katanya.
Koleksi Resort Wear kali ini lebih fleksibel dan memahami kehendak wanita yang mahu kelihatan bergaya mengikut situasi dan destinasi.
Pada masa sama menerapkan unsur komersial dalam setiap rekaan.
"Ketika melahirkan koleksi ini saya membayangkan seorang wanita bergaya yang sedang bercuti di resort mewah.
"Gayanya bersahaja tetapi masih anggun," tambah Syaiful.
Jom lihat helaian-helaian indah rekaan Syaiful Baharim sempena KLFW 2019.
#Fesyen #KLFW 2019 #Syaiful Baharim