Pelakon yang juga model dan penyampai TV jelita, Kelly Brook antara bintang yang menjadi pertaruhan dalam filem genre seram terbaru berjudul Santet: Black Magic.

Perkataan Santet yang bermaksud ilmu hitam dijadikan sebagai subjek dalam filem ini yang mengisahkan bagaimana satu keluarga diganggu amalan ilmu sesat ini.



Pengarahnya, Helfi Kardit menyatakan jalan cerita filem ini merupakan inspirasi kepada kisah yang pernah berlaku.

“Sesuatu yang istimewa mengenai filem ini apabila kami menggabungkan barisan pelakon daripada tiga buah negara iaitu United Kingdom, Filipina dan Indonesia.

“Malah, kami berasa cukup bertuah kerana berjaya mendapatkan pelakon popular, Kelly Brook sebagai teraju utama filem ini,” katanya.



Selain Kelly, filem ini juga menampilkan pelakon Indonesia seperti Marcelino Lefrandt, Ray Sahetapy dan Ayu Dyah Pasha serta pelakon kelahiran Filipina iaitu Jazz Ocampo.

Helfi pula menyifatkan kemunculan model dan pelakon seksi yang pernah tampil dalam beberapa filem Hollywood seperti The Italian Job dan Piranha 3D itu memberikan aksi lakonan yang cukup memberangsangkan.

“Kalau menceritakan tentang bayaran untuk Kelly, jumlahnya sahaja boleh menampung kos untuk menghasilkan sebuah filem seram di Indonesia.

“Namun begitu, ia bukan menjadi satu ukuran buat kami kerana apa yang lebih penting adalah impak filem ini agar dapat memberi kepuasan kepada penonton yang menggemari filem-filem bergenre seram,” jelasnya.



Filem ini yang membelanjakan kos sebanyak RM4 juta akan ditayangkan di pawagam tempatan bermula 25 Oktober nanti.

Teks oleh: Elrafaei Sapi