Hiburan
Beauty And The Beast Mula Ditayangkan 30 Mac Tanpa Suntingan
Filem Disney yang sebelum ini mencetuskan kontroversi, Beauty and the Beast, akhirnya akan ditayangkan di Malaysia.
Menurut satu kemas kini status di akaun Facebook rasmi rangkaian pawagam GSC, mengesahkan ia akan mula ditayangkan di seluruh negara pada 30 Mac ini.
Status itu juga memaklumkan, tiada suntingan dibuat pada filem berkenaan dan akan diklasifikasikan dengan rating P13.
Namun begitu, mereka yang telah membuat tempahan tiket masih perlu menuntut wang mereka kerana pihak pengurusan pawagam tidak menyediakan tukaran wang untuk waktu dan tarikh tayangan baharu.
Jualan tiket untuk tarikh tayangan baharu juga belum dibuka dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Beauty and the Beast sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas pengarahnya, Bill Condon berkata kepada majalah Attitude bahawa watak Le Fou, yang dimainkan oleh Josh Gad, diberi "momen gay yang eksklusif" dalam filem itu.
Diadaptasi dari filem animasi tahun 1991, filem terbaharu ini berkisarkan kisah seorang wanita yang cantik dan gemar berdikari, Belle yang ditawan oleh si hodoh, Beast di sebuah istana.
Ia menampilkan barisan pelakon seperti Emma Watson, Ewan McGregor, Gugu Mbatha-Raw, Ian McKellen dan Stanley Tucci.
Filem itu sepatutnya ditayangkan pada 16 Mac lalu.
Susunan oleh: Amri Hassan
Sumber: Astro Awani