Nasib pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali sama ada dibebaskan atau disabit kesalahan atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella, akan diketahui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Keputusan di akhir kes pembelaan itu akan diputuskan oleh Hakim Izralizam Sanusi pada jam 10 pagi pada Rabu.

Kes Bella tular di media sosial selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda.

Susulan itu, pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kemudian pada 20 November tahun sama, pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja itu.

Pada 24 November 2022, Siti Bainun menangis selepas mahkamah memerintahkannya untuk membela diri atas dua pertuduhan berkenaan.

Bagaikan 'jatuh ditimpa tangga', dua bulan selepas itu, dia sekali lagi menangis kerana kesemua peguam menarik diri sebelum prosiding kes bela diri bermula.

Sumber: Sinar Harian