Bekas suami penyanyi dangdut Dewi Perssik, Saipul Jamil baru dibebaskan dari penjara pada 2 September 2021 lalu.

Saipul yang juga merupakan penyanyi dangdut ini disumbat ke penjara kerana kesalahan mencabul gadis bawah umur yang dilakukan pada tahun 2016.

Pembebasan lelaki berusia 41 tahun ini menuai pelbagai pro dan kontra terutama ada pihak yang menyambut Saipul seperti wira, lapor media Indonesia.

Hal itu mengundang marah banyak pihak termasuk penggiat seni, rakan selebriti dan masyarakat yang bukan sahaja membuat petisyen tetapi memboikot Saipul Jamil.

Mereka berasa sosok seperti Saipul Jamil tidak layak diagung agungkan selepas keluar dari penjara. Apa lagi jenayah yang dilakukannya adalah kerana mencabul gadis bawah umur dan memegang status pedofil.

Perbuatan itu disifatkan jijik dan tidak bermoral, apalagi dia dikenali sebagai seorang selebriti.

Malah, penyanyi dangdut Inul Daratista yang pada mulanya menyokong rakan seperjuangannya itu minta maaf kerana dikritik tidak sensitif.

Begitu juga dengan stesen televisyen Trans TV yang terpaksa membuat permohonan maaf terbuka selepas dikritik penonton kerana menjemput Saipul Jamil hadir dalam program Kopi Viral, sehari selepas dirinya dibebaskan dari penjara.

Pengarah Angga Sasongko malah sempat mengumumkan mahu menarik penayangan dua karyanya iaitu animasi Nussa dan drama Keluarga Cemara daripada stesen televisyen tersebut selepas membawa Saipul Jamil ke program tersebut.

Melalui cuitan di bebenang Twitternya, Angga menyifatkan stesen televisyen tersebut tidak menghormati mangsa dan kanak kanak yang banyak dipamerkan dalam dua karya tersebut.

Selain itu, pelakon Arie Kriting pula menggelarkan tindakan untuk menggabungkan video dirinya bersama penyanyi tersebut sebagai najis apabila diminta oleh pihak stesen tv sama.

"TV kalian memberi ruang untuk pedofil dan pencabul untuk disambut kembali selayaknya pahlawan. Jangan kaitkan ia dengan diri saya. Najis sama kelakuan kalian," jawab Arie Kriting.

Mengikut fakta kes, Saipul Jamil telah berkenalan, membawa dan memperdaya seorang gadis yang lima tahun lalu berusia 17 tahun di kediamannya.

Gadis tersebut mendakwa sempat ditawarkan wang untuk bersetubuh, namun ditolak.

Saipul Jamil kemudian meminta gadis tersebut memicit badannya, sebelum mencabulnya sewaktu dia sedang tidur di bilik pembantu penyanyi itu.

Selepas dilaporkan kepada pihak polis, dia mengaku melakukan perbuatan keji tersebut dan dimasukkan ke penjara.

Sewaktu di dalam penjara, penyanyi ini tidak berhenti dengan usaha untuk keluar lebih awal dari tahanan. Dia malah sanggup ingin memberi rasuah pihak berwajib untuk dibebaskan sekaligus membuat pihak kehakiman menambah jumlah tahun hukuman buatnya.

Kredit Foto: Detik.com