Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Beberapa Kawasan Di Empat Negeri Tiba-Tiba Blackout! TNB; "Pasukan Kami Sedang Kenalpasti Punca"

Shahrin Zulkifle
27/07/2022 07:00 MYT
Bekalan elektrik di beberapa kawasan di Lembah Klang dilapor terputus ketika ini.

Antara kawasan yang dipercayai terjejas adalah Bangi, Serdang, Ampang, Shah Alam, Subang, pusat bandaraya Kuala Lumpur dan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Beberapa pusat membeli-belah di ibu negara turut mengalami masalah terputus bekalan elektrik.

Menerusi petikan AWANI, difahamkan bekalan elektrik dilapor terputus sekitar 12.50 tengah hari Rabu.

Dalam pada itu, AWANI turut melaporkan beberapa negeri lain turut terjejas dengan masalah sama.

Antara negeri turut dilaporkan terjejas seperti Kedah (Alor Setar dan Sungai Petani), Negeri Sembilan (Nilai dan Seremban) dan Pahang (Kuantan dan Pekan).

Perkara itu turut disahkan oleh syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) tengah hari tadi.

Menerusi perkongsian di Facebook TNB Careline, syarikat itu memaklumkan pasukan teknikal sedang mengenal pasti punca kejadian.

"Usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.

"Kami mohon maaf di atas segala kesulitan dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini," memetik kenyataan tersebut.

TNB turut menambah, gangguan elektrik yang bermula tengah hari tadi melibatkan 2.2 gigawatt (GW) dan pihaknya memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini dan akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa.

Sumber - AWANI

#Viral #Berita Terkini #Pahang #Berita #Kuala Lumpur #Negeri Sembilan #Kedah #Blackout
;