VIRAL
Bekalan Telur Gred A, D & E Mula Berkurangan Di Pasaran - "Sebenarnya Harga Sudah Naik ..."
Ketidakseimbangan bekalan dan harga telur ayam di pasaran semakin ketara susulan pengurangan subsidi oleh kerajaan, apabila tinjauan mendapati beberapa gred telur langsung tidak dijual di sesetengah premis, manakala harga di lokasi lain pula meningkat secara mendadak.
Hasil tinjauan Harian Metro di beberapa pasar raya dan kedai runcit sekitar ibu negara mendapati telur ayam Gred A, D dan E semakin sukar diperoleh. Di sebuah pasar raya di Ampang, hanya Gred C dan B ditawarkan dengan harga masing-masing RM9.99 dan RM11.25 sepapan. Gred A, D dan E langsung tidak dijual.
Situasi berbeza pula direkodkan di sebuah kedai borong di Jalan Raja Bot, di mana hampir semua gred telur masih dijual, namun harganya menunjukkan variasi berbanding awal Mei lalu. Contohnya, harga telur Gred AA naik daripada RM13.20 kepada RM13.80 sepapan, Gred B meningkat daripada RM9.30 kepada RM10.80, dan Gred C dari RM9 kepada RM9.90.
Sebaliknya, beberapa gred menunjukkan penurunan harga, antaranya Gred A yang kini dijual pada RM12 (turun daripada RM12.30), Gred D pada RM7.80 (turun daripada RM8.10), dan Gred E pada RM6.60 (turun daripada RM7.50).
Di sebuah kedai runcit lain berhampiran Jalan Raja Bot, hanya telur Gred B dan C dijual, masing-masing pada harga RM12 dan RM11. Gred lain tidak dipamerkan.
Menurut seorang pekerja kedai runcit dikenali sebagai Latifah, kenaikan harga telur telah bermula sebelum pengumuman rasmi pengurangan subsidi oleh kerajaan.
“Sebenarnya harga sudah naik sedikit demi sedikit sebelum ini. Sebagai contoh, telur Gred B dijual pada harga RM7.80 ketika Ramadan, kini mencecah RM12. Gred C pula naik daripada RM7.50 kepada RM11,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa turun naik harga banyak bergantung kepada bekalan semasa. “Jika bekalan banyak, harga biasanya turun sedikit.”
Seorang peniaga makanan, Mohammad Nor Alias Ahmad, 43, pula melihat situasi harga telur kini sebagai kembali kepada paras normal.
“Saya selalu gunakan telur Gred D untuk perniagaan. Sekarang harganya RM7.80, turun sedikit berbanding lebih RM9 sebelum ini. Bagi saya, ia masih terkawal dan tidak membebankan.”
Sementara itu, pesara polis Shaharudin Ibrahim, 65, menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan kenaikan harga yang lebih ketara menjelang Ogos.
“Sekarang harga masih stabil. Telur kampung pun saya beli RM12 sepapan. Tapi bila subsidi ditamatkan sepenuhnya Ogos nanti, mungkin akan ada kenaikan mendadak. Kita tunggu dan lihat.”
Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan pengurangan kadar subsidi telur ayam daripada 10 sen kepada lima sen sebiji bermula 1 Mei, dan akan ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.
Keputusan itu diambil selepas pihak industri memberi jaminan terhadap pengeluaran telur ayam yang stabil dan mencukupi, berikutan kos pengeluaran yang dikatakan telah kembali normal. - HARIAN METRO