Bekas isteri Eminem, Kim Mathers baru baru ini mengejutkan dunia hiburan Hollywood apabila dilaporkan membuat percubaan bunuh diri.

Percubaan bunuh diri tersebut bagaimanapun tiada kaitan dengan rapper berpengaruh itu.

Sebaliknya, Mathers dilaporkan cuba membunuh diri selepas tidak dapat menerima kenyataan di atas kematian ibunya.

Lantaran terlalu sedih, dia membuat percubaan membunuh diri dengan cara melukai diri, lapor TMZ.

Saat ditemui oleh paramedik, terdapat banyak luka dalam pada bahagian kaki perempuan yang mula bercinta dengan Eminem sejak zaman sekolah. Malah terdapat banyak kesan darah di lantai kediamannya.

Meski tercedera, Mathers dikatakan tidak dapat mengawal keadaan dan tidak mahu ditenangkan oleh paramedik. Dia kemudian dikejarkan untuk mendapatkan rawatan termasuk pertemuan dengan pakar psikologi.

Menurut laporan sama, Mathers telah menulis nota mengenai kesedihannya kerana kematian ibu, empat hari sebelum percubaan bunuh diri dilakukan.

Dalam nota yang sama, dia mengatakan orang yang sepatutnya mati adalah dirinya, bukan sang ibu.

Eminem dan Mathers pernah berkahwin sebanyak dua kali sebelum memutuskan bercerai dan tak kembali bersama semula pada tahun 2006.

Pasangan ini bagaimanapun memiliki seorang anak perempuan, Hailie Jade.

Kredit Foto: TMZ/Getty Images