Bekas isteri mantan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Ivana Trump dilaporkan meninggal dunia.

Ivana yang merupakan bekas isteri pertama Trump meninggal dunia pada usia 73 tahun, lapor BBC.com. Dia meninggalkan tiga orang anak.

Pihak berkuasa tempatan melaporkan Ivana dipercayai tidak sedarkan diri berhampiran tangga dalam kediamannya di New York.

Dia dipercayai mungkin terjatuh dari tangga secara tidak sengaja. Bagaimanapun sehingga artikel ini ditulis, punca kematian sebenar wanita yang pernah menjadi perhatian dunia itu belum diketahui.

“Dia seorang wanita cantik, baik dan hebat yang telah meninggalkan banyak inspirasi sepanjang hidupnya,” tulis Trump mengenang kematian wanita yang pernah menjadi sebahagian hidupnya di laman sosial, Truth Social.

Ivana yang lahir di Czech Republic berkahwin dengan Trump pada 1977, namun bercerai 15 tahun kemudian iaitu pada 1992. Selepas bercerai, Ivana memulakan bisnes termasuk jenama pakaian dan kecantikan atas namanya.

Pada tahun 2017, Ivana menerusi sebuah memoir berjudul Raising Trump, dia mendakwa membuat keputusan terhadap semua hal berkaitan anak anak mereka termasuk pelajaran, aktiviti, percutian serta duit poket.

Dia juga mendakwa hubungannya dengan Trump yang juga suami keduanya selepas berpisah dengan Alfred Winklmayr menjadi lebih baik selepas mereka bercerai.