Bekas Kekasih Yakin, Fify Azmi Tak Bersalah- “Saya Kenal Dia Macam Mana…”
Shahrin Zulkifle
26/06/2022 23:50 MYT
26/06/2022 23:50 MYT
Pelakon Haidar Hasanudin akui terkejut selepas mendengar khabar angin tentang bekas kekasihnya, Fify Azmi mengambil barang terlarang untuk menambahkan lagi penghayatan dalam lakonan.
Haidar berkata dia mengenali Fify sudah cukup lama, malahan sebelum dirinya bergelar seorang pelakon lagi.
“Saya dengan Fify berkenalan agak lama dari 2015, banyak perkara juga yang kami buat bersama, kami pernah digandingkan sebagai pengacara program bersama, tambahan lagi kami dulunya bernaung di bawah syarikat yang sama.
“Kemudian dia yang terlebih dahulu berlakon, jadi saya sebagai antara yang teramat, diminta untuk membantu dia dari segi jadual dan pengurusan yang lain.
“Dengan ilmu sedikit yang saya ada ketika bekerja belakang tadbir, saya gunakan ilmu itu untuk bantu dia. Dalam erti kata mudah, saya pengurus kepada Fify waktu itu.
“Sepanjang bekerjasama dengan Fify, sekali pun tidak ada isu sebabnya dia sangat komited dan bertanggungjawab, tambah lagi dia sejenis yang ceria sentiasa.
“Bila isu Fify viral berkenaan barang terlarang saya agak terkejut juga bila membacanya, sepanjang kita kenal tidak sekali pun dia mengambil barang terlarang seperti yang diperkatakan.” kata pelakon tampan itu.
Tambah Haidar, meskipun hubunganya bersama aktres itu mula renggang seawal tahun 2020, namun dia tetap mendoakan kebahagian Fify yang akan berumah tangga tidak lama lagi.
“Walaupun sekarang sedikit renggang tetapi kami masih berkawan dan tiada isu diantara kami.
“Saya sentiasa mendoakan kejayaan Fify walau di mana pun dia berada dan apa jua dia lakukan.
“Saya juga akan mendoakan kebahagian dia bersama pasanganya.” Tambah Haidar ringkas.
Sebelum itu, pada 7 Jun lalu, Fify Azmi atau nama aslinya Nur Afiqah Mohamad Azmi membuat laporan polis mendakwa wang hasil lakonannya telah dibawa lari oleh pengurusnya dikenali Nora.
Susulan kes pendedahan itu, Nora menganggap itu adalah salah faham yang berlaku diantara mereka, wanita terbabit sempat memuat naik status di Ig Story dengan mecalarkan maruah Fify dengan menyatakan Fify mengambil barang terlarang itu untuk kekal aktif ketika berlakon.