VIRAL
“Bekas Laki Meringkuk Kat Sel, Dia Bahagia Di Korea” – Bekas Kakak Ipar Spill The Tea Kes Kim Seri, Dakwa Bekas Suami Jadi Kambing Hitam
Seorang wanita yang dipercayai bekas kakak ipar kepada pempengaruh Kim Seri tampil mendedahkan sisi lain di sebalik kes penipuan yang membabitkan nama selebriti media sosial itu.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di media sosial, wanita bernama Azlina itu mendakwa bahawa bekas suami Kim Seri kini menanggung akibat atas jenayah yang dilakukan semasa mereka masih bergelar suami isteri.
“Video dan jawapan kenapa Kim Seri masih bebas sebab bekas suami yang tanggung segala jenayah dia. Asbab semasa suami isteri, bekas suami bukakan akaun SSM/akaun syarikat untuk dia buat travel agency,”dakwa Azlina.
Menurutnya, apabila kes tersebut tular dan ramai mangsa tampil membuat laporan polis, pihak berkuasa hanya dapat mengambil tindakan terhadap bekas suami Kim Seri kerana segala pendaftaran syarikat dibuat atas namanya.
“Jadi bila kes viral, orang report, bekas suami yang hadap kes polis dan segala jenayah dia. Sekarang bekas suami masuk lokap, kena roadshow lokap sebab hadap 47 kes jenayah dia,” tambahnya.
Paling menyentuh hati, kata Azlina, bekas suami kini dipenjarakan, manakala Kim Seri dilaporkan telah berpindah ke Korea Selatan dan menjalani kehidupan bahagia bersama pasangan baru.
“Yang buat, hidup lepas bebas bahagia dekat Korea sana siap nikah, sedangkan bekas laki meringkuk kat sel atas segala jenayah dia.”
Dalam hantaran sama, Azlina turut memaparkan tangkap layar perbualan dipercayai antara dirinya dengan Kim Seri.
Antara isi perbualan tersebut adalah permintaan agar Kim Seri tampil mengaku kesalahan dan bertanggungjawab atas jenayah yang dikaitkan dengan dirinya.
“Tolonglah bertanggungjawab. Biar awak sendiri yang hadap, bukan orang lain jadi mangsa,” demikian antara mesej yang dikongsikan Azlina.
Terdahulu, nama Kim Seri mencetuskan kontroversi selepas beberapa individu tampil mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan yang dikelolakan oleh pempengaruh itu. Jumlah kerugian yang dilaporkan mencecah RM500,000.
Susulan dakwaan tersebut, Kim Seri tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan berjanji akan membayar semula wang pelanggan selewat-lewatnya pada 1 Februari 2025.
Namun begitu, sebahagian mangsa mendakwa sehingga kini mereka masih belum menerima bayaran balik, manakala Kim Seri pula dilaporkan telah selamat mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki warga Korea Selatan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada Kim Seri berhubung pendedahan terbaru ini. Warganet kini menuntut penjelasan lanjut dan tindakan sewajarnya daripada pihak berkuasa.
Must-Watch Video