BERITA

Bekas Pelakon Dikenakan Waran Tangkap Kes Sijil Nikah Palsu Anak Raja

Gempak 22/05/2025 | 13:20 MYT
Seorang bekas pelakon yang diminta hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, berhubung kes memuat naik sijil nikah palsu dengan seorang putera raja, di media sosial dikenakan waran tangkap.
Hakim, Norma Ismail mengeluarkan waran itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Haniff Ahijman terhadap Persana Avril Sollunda, 43, yang beralamat di Kota Kinabalu, Sabah.
Wanita itu sepatutnya didakwa dengan pertuduhan memulakan komunikasi palsu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, namun pertuduhan tidak dibaca kerana dia tidak hadir ke mahkamah.
Semasa prosiding, Muhammad Amir berkata, berdasarkan maklumat pegawai penyiasat, bekas pelakon dan model sambilan itu tiada di mahkamah bagi mendengar pertuduhan dibacakan pada jam 9 pagi.
“Sedangkan, saman terhadap wanita terbabit, diserahkan sendiri pada 29 April lalu,” katanya.
Selepas mendengar perkara itu, mahkamah menetapkan 19 Jun depan untuk sebutan waran tangkap.
Pada Mac lalu, dia ditahan untuk disoal siasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu tetapi dibebaskan dengan jaminan.
Sumber: Sinar Harian
#Mahkamah #Waran #Tangkap #Anak Raja #Palsu #Bekas pelakon